BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya. Adakah tidak sah solat saya sekiranya saya secara tidak sengaja telah tersalah niat jumlah rakaat dalam solat. Sebagai contoh, "Sahaja aku solat fardhu Zohor 2 rakaat..." sedangkan solat Zohor adalah 4 rakaat. 


message user image

Jawapan  

والسلام عليکم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Niat solat ialah rukun pertama dan syarat sah solat yang wajib hadir di dalam hati. Menurut Mazhab Syafi'i, tempat niat adalah di dalam hati dan ia mesti disertakan secara serentak ketika takbiratul ihram . Melafazkan niat di mulut adalah sunat untuk membantu hati menetapkan tumpuan.

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, adalah perlu dijelaskan bahawa niat pada asasnya adalah pada hati, bukan pada lafaz, sepertimana yang oleh Al-Ghazzali dalam Al-Wasit:

"النِّيَّة محلهَا الْقلب وَلَيْسَ فِيهَا نطق ونظم حُرُوف لَا بِالْقَلْبِ وَلَا بِاللِّسَانِ"

Maksud: “Niat tempatnya di hati, bukanlah ia susunan lafaz atau huruf baik di hati mahupun lidah”.

Solat puan adalah sah. Kesilapan menyebut atau melafazkan jumlah rakaat di lidah tidak menjejaskan solat, kerana niat yang sebenar terletak di dalam hati dan bilangan rakaat solat fardhu adalah tetap serta tidak wajib disebut ketika melafazkan niat. Adapun, jika dengan yakin dan berazam bahawa solat Zohor yang ingin didirikan di hati adalah dua rakaat,  maka ianya tidak sah. Al-Nawawi dalam Al-Majmu’ menyebut:

"ولو غلط في عدد الركعات فنوى الظهر ثلاث ركعات أو خمسا قال أصحابنا لا يصح ظهره"

Maksud: “Sekiranya seseorang tersilap pada bilangan rakaat, dan berniat Zohor sebanyak tiga atau lima rakaat, ulama kami di Mazhab Syafi’i menganggap Zohor tersebut tidak sah

Teruskan solat dengan tenang dan buang perasaan ragu dan waswas. Sempurnakan solat Zohor tersebut dengan 4 rakaat seperti biasa kerana hakikat solat fardhu Zohor memang ketetapannya adalah 4 rakaat. 

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 31

message user image