BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assamualaikum Ustaz 

Saya mohon bantuan ke atas isu berikut,

1. Saya menunaikan Umrah kali pertama pada tahun 2022. Sebagai persediaan, saya ada membaca buku-buku berkenaan umrah. Salah satu buku dibaca, mengikut kefahaman saya tawaf wada' tidak wajib dilakukan. Maka saya tidak melakukan tawaf wada' semasa meninggalkan Mekah. Sebab lain, saya menemani emak berkerusi roda terkena demam covid di Mekah.

2. Saya pergi bertiga dan bilik kami (seunit sahaja bilik bertiga) tidak sama tingkat dengan bilik berempat. Adik lelaki saya melakukan tawaf wada'.

3. Pada tahun lepas, saya terbaca buku nota Umrah/Haji TH menyatakan tawaf wada' wajib dilakukan mengikut Majlis Fatwa.

4. Oleh itu, minta Ustaz nasihatkan jumlah dam yang dikenakan kerana meninggalkan tawaf wada' dan bagaimana untuk membayarnya.

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, secara umumnya, terdapat dua pandangan mengenai tawaf wada' di sisi ulama shafi'iyyah. Imam Nawawi di dalam kitab Al-Majmu' bahawa di sisi Imam al-Haramain dan al-Ghazali: Tawaf wada' dari jenis Manasik, maka tidak perlu bagi jemaah haji dan umrah melakukan tawaf wada' jika dia hendak keluar dari Mekah. Di sisi Imam al-Baghawi, Mutawalli dan selainnya berpendapat bahawa tawaf wada' bukan dari Manasik, maka ia adalah ibadah mustaqillah iaitu ibadah yang bersendirian. Justeru, diperintahkan untuk melakukan tawaf wada' bagi setiap mereka yang ingin keluar dari Mekah walaupun bermusafir dalam jarak yang pendek sama ada dia orang mekah atau dari mana sahaja.

Pandangan kedua ini, lebih sahih di sisi Imam al-Rafi'i dan selainnya dari ulama-ulama tahqiq kerana memuliakan Tanah Haram dan tuntutan keluar manasik dengan melakukan tawaf wada' menyerupai tuntutan masuk manasik dengan melakukan ihram. Justeru, mengikut pandangan yang kuat dalam mazhab shafi'i, maka wajib melakukan tawaf wada' bagi sesiapa yang ingin keluar dari Mekah sama ada orang yang menetap di Mekah dengan tujuan bermusafir. Berdasarkan keadaan yang dialami puan, tidak jelas adakah emak puan berada dalam keadaan atau tahap darurat sehingga boleh menggugurkan tawaf wada'. Namun begitu, umrah yang telah berlalu, puan telah bertaklid kepada salah satu pandangan muktabar dalam mazhab Syafie yang tidak mewajibkan tawaf wada' dan hukum umrah tersebut adalah sah dan gugur kewajipan membayar dam. Hal ini sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh ‘Ali al-Syabramallisi dalam hasyiahnya terhadap kitab Nihayah al-Muhtaj, dengan menukilkan daripada Fatawa Ibn Ziyad, kata imam Ibn Ziyad:

 "إنَّ العاميَّ إذا وافقَ فعلُه مذهبَ إمامٍ يصحُّ تقليدُه.. صَحَّ، وإن لم يُقلِّدْه، توسعةً على عباد الله تعال "

Maksudnya: “Sesungguhnya orang awam, apabila perbuatannya bertepatan dengan pandangan salah seorang imam yang sah untuk diikuti, maka perbuatannya adalah sah, walaupun dia tidak secara khusus berniat mengikut imam tersebut. Hal ini merupakan suatu bentuk keluasan dan kemudahan bagi hamba-hamba Allah SWT.

Adapun setelah mengetahui bahawa tawaf wada' adalah wajib berdasarkan mazhab Syafie maka wajar pada kesempatan akan datang untuk dilakukan tawaf wada' dan iktiqad kewajipannya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 40

message user image