BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum w.b.t,

Tuan,

Pada hujung Disember 2025 yang lalu, saya telah menunaikan umrah semasa musim cuti sekolah.

Sehari selepas menunaikan umrah yang pertama, ketika saya hendak membasuh kain ihram, saya baru perasan ada kesan najis saya pada kain tersebut. Saya ada membuat carian tentang hukum umrah yang saya kerjakan dan jawapan yang saya jumpa menyatakan bahawa umrah saya sah dan tidak perlu diulang kerana saya tidak sedar tentang najis tersebut dan saya hanya mengetahui tentang najis tersebut setelah seharian berlalu. Saya berpegang kepada pendapat tersebut dan menjalani pula umrah kedua dan ketiga selepas itu.

Baru-baru ini, saya membaca mengenai toharah. Secara umum, suci pakaian dan tubuh badan adalah syarat sah ibadah (seperti solat dan tawaf). Tiba-tiba saya mula rasa ragu-ragu adakah umrah pertama yang saya kerjakan itu sah atau tidak. Saya mula membuat carian lain dan berjumpa pula pendapat yang mengatakan umrah tersebut tidak sah. Saya jadi risau, takut dan tidak tenang memikirkan perkara ini. Saya faham bahawa perbahasan mengenai najis sangat luas dan banyak pendapat dalam pelbagai mazhab. Sebagai contoh, ada bab najis yang dimaafkan dalam ibadah. Tetapi makin saya mencari jawapan, saya rasa makin sukar untuk saya rasa tenang dan rasa sangat-sangat berdosa jika ibadah umrah saya tidak diterima.

Mohon bantuan dan penjelasan dari tuan berkaitan perkara ini.


message user image

Jawapan  

والسلام عليکم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan tuan:

1. Di sisi Mazhab Syafi’i terdapat dua pendapat yang menerangkan tentang solat dengan najis yang diketahui setelah selesai mengerjakannya (disamakan dengan umrah kerana kedua-duanya perlu dilakukan dalam keadaan suci diri, pakaian dan tempat). Al-Nawawi dalam kitab Raudhah al-Tolibin menulis:  

"فَفِي وُجُوبِ الْإِعَادَةِ الْقَوْلَانِ فِيمَنْ صَلَّى بِالنَّجَاسَةِ جَاهِلًا. وَقِيلَ: يَجِبُ قَطْعًا"

              Maksud: “Ada dua pendapat dalam kewajipan mengulangi semula solat untuk orang yang solat dengan najis dalam keadaan dia tidak tahu. Dikatakan bahawa ianya wajib secara mutlak”.

Ini menunjukkan bahawa solat dengan keadaan bernajis pada pakaian dalam keadaan tidak tahu adalah tidak sah dan perlu mengulanginya. Adapun pendapat yang kedua, ianya adalah sah.

Oleh hal demikian, dalam hal umrah dengan pakaian bernajis yang hanya diketahui kemudiannya adalah sah jika disandarkan kepada pendapat kedua tersebut. Selain itu, ibadah umrah juga adalah sunat hukumya berbanding solat yang wajib. Jadi, di sini terdapat keringanan dengan mengambil kira juga faktor tempat yang jauh, kos dan sebagainya.

2. Adapun bagi keraguan tempat sah atau tidak umrah tersebut. Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-33 yang bersidang pada 28 November 2016 menyatakan:

(a) Amalan-amalan haji dan umrah masa lampau yang baru diragui kesahihannya, tidak memberi apa-apa kesan dari segi hukum jika dia yakin sah ketika melaksanakannya dahulu.

(b)  Amalan-amalan haji dan umrah lampau yang diyakini tidak sah mengikut Mazhab Syafi’i maka boleh bertaqlid kepada mazhab lain untuk mengesahkannya jika ada.


والله أعلم بالصواب


Sekian, terima kasih. 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 35

message user image