Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam, sy musafir, pulang dari bercuti, sy tinggal di seksyen 7 shah alam, kemudian hendak solat jamak di seksyen lain, boleh atau tidak, apakah maksud kariah?
Jawapan
Musafir adalah seorang yang melakukan perjalanan pada jarak melebihi 2 marhalah atau 81 KM. Bermukim bererti seorang yang menetap di suatu tempat lebih daripada tiga hari tidak termasuk hari permusafiran dan hari keluar. Manakala bermastautin pula bermaksud tempat tinggal hakikinya.
Dalam menjelaskan perkara ini, tempoh yang dibenarkan jamak dan qasar untuk seseorang musafir ialah tiga hari tiga malam, tidak termasuk hari perjalanan sampai dan hari perjalanan pulang. Jika seseorang itu berniat untuk tinggal di suatu tempat selama empat hari atau lebih, maka dia tidak boleh qasar dan jamak ketika sampai di tempat itu kerana dia telah pun dikira sebagai bermukim. Adapun ketika masih dalam perjalanan, tiada had hari yang tetap, dan dibolehkan untuk melaksanakan qasar dan jama’ sehiggalah sampai ke destinasi musafir.
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, pengarang kitab Syarh al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah ada menyatakan:
Maksud: “Dan berakhirlah rukhsah musafir dengan sampai ke destinasinya”
Untuk itu, puan boleh menunaikan solat jamak qasar semasa musafir sebelum tiba di Seksyen 7, Shah Alam.
Dalam menjelaskan persoalan kariah pula, pengarang kitab Al-Mawsu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah ada menjelaskan bahawa:
Maksud: “Setiap tempat yang bangunan-bangunan bersambung dan dijadikan sebagai tempat tinggal”
Sebagai contoh, jika seseorang tinggal di Seksyen 7, Shah Alam maka tempat tersebut dikira sebagai kariah baginya. Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 [Enakmen 1/2003] memberi takrifan untuk istilah “ahli kariah” sebagai “seseorang yang tinggal tetap atau pada kelazimannya bermukim dalam sesuatu kariah masjid”. Jadi, kariah boleh didefinisikan sebagai sebuah kawasan atau mukim yang penduduk-penduduknya berkongsi masjid atau surau yang sama.
Sekian, terima kasih.