Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh kepada Sahibus Samahah Dato' Mufti dan para panel Jawatankuasa Fatwa Selangor.
Sudah beberapa minggu bahkan hampir sebulan anjing-anjing kerap datang ke rumah saya dan lepak di hadapan pintu rumah saya pada waktu malam ketika kami sedang tidur.Mereka selalu menggigit kasut dan selipar kami sekeluarga dan kadang-kadang kencing di halaman rumah kami.Setiap malam mereka pasti datang ke rumah saya dan meninggalkan kesan seperti tapak kaki, gigitan atau najis.
Persoalannya, bolehkah saya bertaqlid dengan pandangan mazhab Maliki yang menganggap anjing itu suci secara keseluruhan buat sementara waktu? kedatangan mereka membebankan kami untuk sertu setiap hari.Saya berpegang kepada mazhab Maliki ketika di kawasan rumah saya sahaja dan ketika mereka kerap datang ke rumah kami.Saya kembali berpegang pada mazhab Syafi'i apabila berada di luar kawasan rumah dan mereka tidak lagi datang ke rumah kami pada setiap malam.Saya juga risau adik-adik kecil saya terpijak air liur anjing ketika hendak ke sekolah pada waktu subuh kerana mereka akan jadi orang pertama keluar rumah.
Mohon pencerahan dari Dato Mufti dan para panel sekalian.Jazakumullah khair.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, secara asasnya, menurut mazhab Syafi'i, anjing ialah najis mughallazah. Sekiranya terbukti dengan yakin air liur anjing mengenai seseorang atau sesuatu, maka wajib disertu sebagaimana yang ditetapkan oleh syarak. Namun demikian, jika ia hanya sekadar sangkaan atau kemungkinan bahawa sesuatu telah terkena air liur anjing, maka tidak wajib untuk sertu.
Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh:
Maksudnya: Keyakinan tidak hilang dengan keraguan.
Sehubungan itu, kehadiran anjing di kawasan rumah, kesan tapak kaki, atau kebarangkalian air liurnya terkena sesuatu tidak mengubah hukum asal sesuatu itu kekal suci sehinggalah terbukti sebaliknya. Dalam masa yang sama, Allah SWT tidak memberatkan hambanya sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 185:
يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
Maksudnya: Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kesukaran bagi kamu.
Berdasarkan prinsip tersebut, para ulama membenarkan bertaqlid kepada mazhab muktabar yang lain apabila wujud keperluan atau masyaqqah yang diiktiraf syarak, dengan syarat bukan bertujuan mencari pendapat yang paling ringan semata-mata dan tidak membawa kepada talfiq yang dilarang.
Sekiranya kehadiran anjing tersebut berulang sehingga menimbulkan kesukaran yang nyata untuk beramal dengan mazhab Syafi'i, terdapat ruang dalam perbahasan fiqh untuk bertaqlid kepada pandangan mazhab Maliki yang menganggap anjing suci pada zatnya. Walau bagaimanapun, tindakan tersebut sewajarnya hendaklah dilakukan dengan bimbingan pakar rujuk agama dan pihak yang berautoriti, agar pelaksanaannya menepati garis panduan hukum syarak.
Kesimpulannya, dalam situasi yang dinyatakan, kehadiran anjing semata-mata tidak mewajibkan sertu selagi tidak terdapat keyakinan bahawa air liurnya telah mengenai sesuatu. Sekiranya benar-benar wujud masyaqqah yang berterusan, maka isu bertaqlid kepada mazhab Maliki merupakan satu perkara yang mempunyai asas dalam perbahasan fiqh dan wajar dirujuk kepada pihak berautoriti untuk mendapatkan panduan yang lebih tepat mengikut keadaan yang dihadapi.
والله أعلم بالصواب