Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam,
Pada minggu lepas saya mendapat berita ada kematian seorang remaja india tingkatan 4 mati lemas akibat terjatuh longkang. Remaja ini sama sekolah dengan anak sulung saya. Saya tidak mengenali dia, tidak permah tahu pun tentang dia sebelum ini. Namun berita tentang kematian dia sangat terkesan di hati saya. Dari hari saya mendapat berita tentang kematian dia, sampai ke hari ini ( hari ke 8) saya masih rase sebak, sayu dan rasa seperti kehilangan sangat dan saya menangis bila teringat kat dia. Saya sendiri tidak faham kenapa saya boleh jadi sangat sedih. Saya tidak pernah menangis lebih dari sehari apabila mendapat berita kematian, lebih lebih lagi tentang orang yang saya tidak pernah kenal. Dan apabila saya baca komen pada posting kawan2 mendiang di tiktok, ramai yang seperti saya. Tidak kenal tetapi rase sedih, sebak yang sampai menangis.
Sahabat yang pergi melawat mendiang seairbelum upacara pengkebumian memberitahu, mendiang nampak sangat tenang dan muka sangat bersih. Tidak nampak seperti orang yang mati lemas dengan tanda lebam atau bengkak .
Mendiang mempunyai ramai kawan rapat, dan semuanya melayu. Menurut anak saya, sahabat mendiang beritahu mendiang pernah berniat nak memeluk islam apabila umur dapat capai 18tahun dan ada lagi seorang sahabat beritahu mendiang kata die terasa dekat dengan islam.
Soalan saya, sekiranya benar apa yang sahabat mendiang katakan tentang hasrat dia nak memeluk islam, adakah dia mati dalam islam walaupun belum mengucap? Dan adakah ini tanda tanda khusnul khotimah pada dia? Hati saya sangat sangat berharap ini semua tanda die sudah islam dan khusnul khotimah. Saya tak pernah menangis untuk kematian sesiapa selama seminggu dan juga untuk orang yang saya tidak pernah kenal. Saya amat berharap soalan saya dijawab. Saya harap dengan jawapan ini saya dapat tenang. Terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang dikemukakan, kematian seseorang yang belum Islam akan dihukumkan secara zahirnya. Daripada Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Bukti bagi orang yang mendakwa dan sumpah bagi orang yang ingkar”. [Riwayat al-Baihaqi]
Berdasarkan kepada hadith di atas, jelaslah bahawa kita dituntut untuk mengeluarkan sesuatu hukum pada perkara yang zahir atau jelas sahaja seperti orang Islam itu dari segi zahirnya Islam adalah dengan mengucap dua kalimah syahadah atau beramal ajaran Islam atau Kad Pengenalannya tercatat perkataan Islam. Ini kerana, kita sebagai manusia biasa tidak mengetahui apa yang tersirat dan tersurat di dalam hati manusia lain kerana itu semua diluar kemampuan kita. Walaubagaimanapun kita berserah sahaja kepada Allah SWT Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui tentang hasrat dan niatnya hendak memeluk Islam atau tanda-tanda husnul khatimah yang ada pada beliau.
Sekian, terima kasih.