Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam, saya dah berkahwin dengan isteri hampir 4 tahun. Baru dapat anak umur 1 tahun lebih. Sejak dah ada anak, isteri selalu tolak bila nak bersama. Isteri siap cakap dia izinkan untuk kahwin satu lagi. Nak tanya apa hukum bila isteri cakap/buat seperti ini? Saya dah nasihat dan slow talk tapi isteri tetap bagi alasan bila nak bersama. Saya dah buntu sangat tak tahu nak buat apa.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang dikemukakan, tanggungjawab isteri mentaati perintah suami pada perkara yang ma’ruf selagi dalam kerangka syarak. Bahkan, terdapat hak-hak suami yang perlu dilunaskan oleh seorang isteri. Para fuqaha bersepakat bahawa suami berhak mengajak isterinya untuk bersetubuh pada bila-bila masa yang dia mahu melainkan pada alasan-alasan syarie seperti waktu ketika haid, nifas, keadaan zihar dan ketika ihram.
Begitu juga, nusyuz boleh terjadi apabila isteri menolak hubungan seksual walaupun dalam bentuk sekadar memegang pada anggota yang dipilih suami. Namun tidak dianggap nusyuz sekiranya isteri menolak kerana uzur yang dibenarkan syarak seperti sedang sakit yang membawa mudarat dengan bersetubuh, farajnya luka dan sedang haid . Sekiranya tiada keuzuran syarak, maka menjadi kewajiban isteri menunaikan permintaan suami untuk bersetubuh. Bahkan, berdosa besar sekiranya isteri menolak berdasarkan dalil yang menunjukkan ancaman yang keras.
Ancaman yang dimaksudkan berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Apabila seorang lelaki mengajak isterinya ke katil (dengan tujuan untuk berkelamin), lalu isteri itu menolaknya, maka suami tersebut tidur dalam keadaan marah dengan isterinya. Dengan itu, para malaikat akan melaknatnya (isteri) sehinggalah dia bangun (daripada tidurnya) pada waktu pagi.” Riwayat al-Bukhari.
Sekiranya sudah menasihati isteri, suami boleh membawa isteri tersebut mendapatkan nasihat pegawai Undang-Undang Keluarga di pejabat agama daerah yang berhampiran dengan tempat tinggal.
Sekian, terima kasih.