Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Wbt.
Pada bulan puasa yang lepas, saya baru mengetahui bahawa dalam tempoh menstruasi, pada penghujung menstruasi, warna kuning yang keluar dari pantyliner juga dikira sebagai darah, dimana tempoh menstruasi masih berlangsung.
Namun, bagi saya (sebelum mengetahui info tersebut), saya akan mandi wajib sejurus keluarnya warna kuning tersebut di pantyliner, kerana saya beranggapan telah habis fasa menstruasi. Tetapi setelah mengetahui info tersebut, saya berasa ragu ragu, kerana rakan saya berkata bahawa saya masih perlu tunggu untuk kering sepenuhnya sehingga tiada apa apa yang keluar di pantyliner.
Soalan saya, adakah saya masih perlu sehingga tiada apa apa yang keluar di pantyliner, atau saya boleh mandi wajib sejurus keluarnya keputihan (di mana warnanya kuning pada badan saya), kerana badan saya tidak akan keluar apa apa / kering setelah 2-3 hari keluarnya keputihan tersebut? Seterusnya, bagaimanakah untuk saya mengira tempoh haid yang saya alami? Adakah saya dianggap melengahkan atau tidak solat?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, cecair berwarna kekuningan yang keluar dalam tempoh 15 hari maksimum haid, maka ia dianggap sebagai darah haid. Oleh itu, tempoh haid belum dianggap telah berhenti sekiranya masih terdapat cecair berwarna kekuningan yang keluar. Puan perlu menunggu sehingga darah haid benar-benar telah berhenti dengan cara memasukkan kapas atau tisu putih ke dalam faraj dalam keadaan mencangkung, lalu kapas yang dikeluarkan itu kering putih bersih tanpa kesan-kesan darah. Selagi darah tidak benar-benar berhenti, puan tidak diharuskan untuk mandi dan mendirikan solat. Puan tidak dianggap melengah-lengahkan solat, kerana masih dalam tempoh haid.
Tempoh haid dikira dari hari pertama darah keluar sehingga tiada lagi darah kekuningan.
Sekian, terima kasih.