BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. 

Tuan, soalan saya,

1. Apakah hukum jika isteri dihalau keluar rumah dan mak ayah ambil anak perempuannya itu?

2. Apakah jatuh talak jika si suami cakap ' kalau i nak ceraikan u, i ceraikan u talak 3, bia u tak ada iddah n i pun tak payah bg u nafkah' ?

3. Apakah nusyuz si isteri jika die keluar rumah selepas dihalau dan tidak balik rumah si suami sehingga tarikh mahkamah menilai lafaz talak itu?

4. Apakah hukum nya jika si suami menghina fizikal si isteri dan menuduh si isteri pernah berzina dgn org lain sblm berkahwin?

Harap pihak tuan dapat menjawab soalan sy. Terima kasih. 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab soalan yang diajukan:

1. Tidak terdapat sebarang halangan dari segi syarak kepada emak ayah untuk mengambil anak perempuan yang dihalau oleh suami keluar dari rumah. Secara asasnya, walaupun suami telah menceraikan isteri, isteri tetap mendapat hak tempat tinggal di dalam tempoh iddah. Isteri berhak untuk terus tinggal di rumah yang biasa dia tinggal, melainkan sekiranya suami dapat menyediakan rumah lain yang sesuai dan selain untuk isteri tinggal.

2. Ucapan suami kepada isteri: 'kalau i nak ceraikan u, i ceraikan u talak 3, bia u tak ada iddah n i pun tak payah bg u nafkah', bukan lafaz talak yang menyebabkan jatuh talak. Sebaliknya lafaz itu berbentuk keinginan suami sekiranya dia hendak menceraikan isteri, dia boleh menceraikan isteri dengan talak tiga.

3. Secara umum, jika isteri dihalau oleh suami keluar daripada rumah dan tidak dibenarkan balik atau masuk ke rumah, maka isteri tidak boleh dianggap sebagai telah berlaku nusyuz. Namun isteri perlu membuktikan bahawa suami telah menghalau keluar dan menghalang isteri dari balik atau masuk ke dalam rumah.

4. Tindakan suami menghina fizikal isteri merupakan perbuatan yang zalim dan bertentangan dengan syarak. Suami dituntut untuk mu’asyarah bi al-ma’ruf (bergaul dengan baik) dan memuliakan isteri. Adapun qazaf (tuduhan zina tanpa bukti) adalah tuduhan yang boleh dikenakan 80 kali sebatan kecuali suami memilih untuk li’an (sumpah laknat) di hadapan hakim.

Secara kesimpulan, kesemua isu yang dinyatakan iaitu nusyuz, talak dan tuduhan berzina hendaklah dirujuk kepada Mahkamah Syariah bagi mendapatkan keputusan muktamad.

والله أعلم بالصواب

Terima kasih

 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 72

message user image