Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Kadangkala apabila saya solat Jumaat, akan ada imam yang baca sangat laju. Saya baca sedikit perlahan dalam solat kerana saya berpenyakit was-was yang teruk dan sangat takut jika salah makhraj. Dalam keadaan berimamkan seseorang yang baca laju, ada waktunya saya terpaksa tergesa-gesa untuk kejar pergerakan imam dan saya sangsi sama ada bacaan saya betul makhrajnya, atau tuma'ninah dapat disempurnakan atau tidak. Jadi, saya ingin tahu, jika saya berasa solat Jumaat yang saya lakukan dalam situasi ni ada cacat-cela seperti di atas, adakah wajib saya qada dan gantikan dengan solat yang lebih sempurna?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, apabila tuan telah membaca surah al Fatihah dan melakukan pergerakkan rukun solat ketika solat bersama imam, maka ia telah memadai. Waswas pada bacaan makhraj mahupun rasa tidak penuhi syarat tuma'ninah tidak menjejaskan solat. Oleh itu, abaikan waswas tersebut, solat itu sah dan tidak perlu diqada'.
Terima kasih.