Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz. Kami mohon pencerahan dan penjelasan hukum syarak berkaitan tanggungjawab menjaga ayah yang sakit.
Ayah kami pernah berkahwin beberapa kali dan kini masih mempunyai dua orang isteri. Ayah kini sakit terlantar sepenuhnya, tidak mampu menguruskan diri, memerlukan penjagaan rapi sepanjang masa termasuk pemakanan melalui tiub dan penjagaan harian di atas katil. Ayah mempunyai anak-anak kandung daripada isteri-isteri yang berbeza.
Berlaku perbezaan kefahaman dalam kalangan anak-anak berkaitan tanggungjawab menjaga ayah. Sebahagian anak berpendapat bahawa tanggungjawab utama dan sepenuhnya menjaga ayah yang sakit terletak di atas isteri ayah. Menurut pandangan tersebut, peranan anak-anak kandung hanyalah sekadar membantu atas dasar ihsan dan bukan suatu kewajipan.
Mereka juga berpendapat bahawa anak-anak kandung ayah yang ibu kandungnya masih hidup perlu memikul tanggungjawab menjaga ayah dengan lebih, manakala anak-anak kandung ayah yang ibu kandungnya telah meninggal dunia dianggap tidak lagi mempunyai kewajipan menjaga ayah, dan bantuan mereka hanyalah bersifat sukarela.
Selain itu, timbul pandangan bahawa hanya anak-anak kandung kepada isteri yang sedang menjaga ayah sahaja yang wajib membantu ibu kandung mereka menjaga ayah, manakala anak-anak kandung ayah yang lain tidak wajib membantu mak tiri walaupun ayah yang dijaga itu adalah ayah kandung mereka sendiri.
Dalam usaha menyusun jadual penggiliran penjagaan ayah, pernah dicadangkan supaya ayah dijaga sementara di rumah salah seorang anak kandung ayah yang tidak mempunyai anak kecil, bagi memudahkan penjagaan dan memberi ruang kepada isteri ayah untuk mengurus ayah sepenuhnya seperti yang dikehendaki oleh pihak tersebut.
Namun cadangan tersebut ditolak dengan alasan bahawa ibu kandung kepada anak tersebut telah lama meninggal dunia. Antara jawapan yang diberikan ialah: “Mak saya dah lama meninggal. Kalau mak saya masih ada, barulah saya akan jaga ayah betul-betul.” Alasan ini diberikan berdasarkan kefahaman bahawa kewajipan menjaga ayah gugur apabila ibu kandung telah meninggal dunia.
Untuk makluman ustaz, hubungan antara mak tiri dan anak-anak tiri adalah baik sebelum ini. Anak-anak tiri pernah tinggal bersama mak tiri selepas ibu kandung mereka meninggal dunia sebelum masing-masing berkahwin, dan tiada isu ketidakselesaan atau konflik dalam hubungan tersebut.
Sehubungan itu, kami mohon penjelasan ustaz berkaitan perkara berikut:
1) Adakah benar menurut hukum syarak bahawa kewajipan utama menjaga ayah yang sakit terlantar terletak sepenuhnya di atas isteri ayah, manakala anak-anak kandung hanya membantu atas dasar ihsan sahaja?
2) Adakah benar bahawa anak-anak kandung ayah yang ibu kandungnya masih hidup mempunyai kewajipan menjaga ayah yang lebih besar berbanding anak-anak kandung ayah yang ibu kandungnya telah meninggal dunia?
3) Adakah kewajipan dan tanggungjawab anak kepada ayah kandung gugur apabila ibu kandung telah meninggal dunia?
4) Adakah menurut hukum syarak, hanya anak-anak kandung kepada isteri yang sedang menjaga ayah sahaja yang wajib membantu, manakala anak-anak kandung ayah yang lain tidak mempunyai kewajipan tersebut?
5) Dalam pelaksanaan jadual penggiliran penjagaan ayah, adakah dibenarkan isteri ayah membawa ayah tinggal sementara di rumah mana-mana anak kandung ayah tanpa mengira status ibu kandung mereka, atau terdapat larangan tertentu dari sudut hukum syarak?
Mohon pencerahan ustaz agar kekeliruan ini dapat diselesaikan berdasarkan hukum syarak dan keharmonian keluarga dapat dipelihara. Terima kasih ustaz.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan-persoalan yang dikemukakan, berbakti kepada ibu bapa merupakan amalan yang amat dituntut dalam Islam. Ganjarannya amat besar seperti dijanjikan ganjaran syurga, keberkatan hidup, dan rezeki yang luas. Ianya adalah kunci keredaan Allah. Anak yang berbakti juga akan dikasihi Allah dan mendapat keberkatan dalam umur serta rezeki.
Berdasarkan situasi yang dinyatakan oleh puan, tanggungjawab utama menjaga ayah yang sakit terletak pada anak lelaki dan anak perempuan, termasuklah anak-anak kandung ayah puan yang ibu kandungnya masih hidup atau telah meninggal dunia kerana ianya adalah kewajipan berbakti (birrul walidain) dan memberi nafkah serta penjagaan kepada orang tua. Isteri kepada ayah (ibu tiri) juga mempunyai peranan tanggungjawab menjaga suaminya. Akan tetapi anak-anak wajib memikul beban tersebut bersama-sama bagi meringankan beban isteri. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Isra' ayat 23:
Maksudnya: Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).
Dalam Islam, setiap golongan iaitu anak dan isteri mempunyai peranan dan tanggungjawab yang tersendiri dalam menjaga ayah yang sedang sakit, iaitu:
Bagi menjawab persoalan yang dikemukakan oleh puan berdasarkan situasi yang dinyatakan:
Oleh yang demikian, sebaik-baiknya perlu diwujudkan kerjasama sesama anak dan isteri dan tanggungjawab ini perlu dipikul bersama oleh semua anak-anak dan isteri untuk mengelakkan pertelingkahan dan memastikan kebajikan ayah terjaga. Adapun sekiranya isteri ayah (ibu tiri) berhasrat ingin membawa ayah untuk tinggal sementara di rumah mana-mana anak kandung ayah tanpa mengira status ibu kandung mereka, maka ianya adalah dibenarkan selagi tujuannya adalah baik, iaitu untuk menjaga kebajikan dan kesihatan, serta mendapat keizinan anak tersebut. Islam amat menuntut anak-anak berbakti kepada ayah, dan ianya tidak dilarang, asalkan menjaga batas aurat, privasi, dan keharmonian rumahtangga.
Sekian, terima kasih.