BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Saya nak tanya:-

1. Arwah ayah saya ada satu tanah bendang yang belum sempat ditukarkan hakmilik. Dalam proses menunggu pertukaran hakmilik tersebut, adakah duit hasil bendang itu perlu difaraidkan?

2. Arwah ayah saya ada satu lot kedai yang disewakan kepada org lain. Lot kedai tersebut tidak boleh ditukar hakmilik kerana ianya kepunyaan Majlis Perbandaran dan dalam proses untuk dirobohkan seterusnya dikembalikan semula kepada Majlis Perbandaran. Adakah hasil duit sewa kedai tersebut perlu difaraidkan sehingga kedai tersebut dirobohkan? 

3. Semasa arwah ayah meninggal, abang saya telah mendahulukan duitnya untuk perbelanjaan pengurusan jenazah. Semasa kami kemas barang2 ayah, kami terjumpa duit tunai di dalam baju, dompet, seluar, dan lain-lain. Anggaran duit tunai tersebut mungkin tidak cukup untuk membayar semula duit pengurusan jenazah. Kami juga ada menerima sumbangan dari pelbagai pihak. Soalan saya, duit tunai ayah perlu digunakan untuk membayar duit pengurusan jenazah dan ditambah dari duit sumbangan sekiranya duit tunai tidak mencukupi. Atau, gunakan duit sumbangan untuk membayar duit pengurusan jenazah dan duit tunai tersebut difaraidkan? Cara mana yang sepatutnya saya buat?

4. Adik ipar ayah saya ada memberi sejumlah wang tunai hasil dari duit pusaka atok saya (ayah kepada ayah saya). Duit itu dikira sebagai apa? Adakah perlu difaraidkan juga?

Mohon pencerahan dari pihak Jabatan Mufti. Terima kasih.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد 

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan:

  1. Ya, sekiranya terdapat hasil dari tanah bendang milik arwah bapa puan, maka hasil tersebut perlu dibahagikan secara faraid kepada waris-waris yang berhak.
  2. Hasil duit sewa kedai tersebut perlu difaraidkan kepada semua waris.
  3. Pada asalnya, kos pengurusan jenazah diambil daripada harta peninggalan si mati. Sekiranya harta peninggalan tidak mencukupi, maka diambil daripada sumbangan orang ramai yang diperolehi.
  4. Wang tunai hasil dari duit pusaka datuk puan (ayah kepada ayah puan) merupakan milik arwah ayah dan ia adalah harta pusaka yang perlu dibahagi secara faraid kepada waris-waris yang berhak.

Oleh yang demikian, dinasihatkan agar pihak puan berbincang secara baik sesama waris yang lain dalam proses penentuan harta pusaka arwah ayah dan proses pembahagian dapat dilakukan secara adil dengan merujuk kepada pihak yang berautoriti Baitulmal Negeri untuk kepastian bagi mengelakkan dari termakan harta secara batil.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 25

message user image