BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ada soalan dan mohon pencerahan mengenai cara untuk saya mengira tempoh period dan istihadah saya.

Saya telah keluar darah selama 33 hari setakat hari ini.

1. Tarikh hari pertama period: 8 Feb 2026 (Darah yg kluar dari 8 Feb hingga 26 Feb adalah berwarna merah tetapi tidak banyak dan tidak memerlukan saya memakai tuala wanita. 

2. Pada 23 Feb saya telah mula berpuasa dan solat semula memandangkan darah tersebut tidak menunjukkan tanda2 berhenti.

3. Kemudian, pada 27 Feb sehingga 5 March darah yang keluar sangat bnyak dan berwarna merah pekat dan beserta dengan sakit sengugut yang kuat.

4. Pada 6 March hingga 9 March darah kembali berwarna merah seperti biasa dan tidak perlu memakai tuala wanita.

5. Pada 10 & 11 March (siang) darah tiada. Namun pada 12 March ketulan darah pekat kembali keluar.

Mohon pencerahan, adakah saya boleh meneruskan ibadah puasa saya dan solat seperti biasa?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Secara umumnya, sebanyak-banyak tempoh haid adalah 15 hari 15 malam. Darah yang masih keluar melebihi tempoh maksimum haid merupakan darah yang bercampur antara darah haid dan istihadhah. Untuk menentukan darah haid dan istihadhah, terdapat dua kaedah iaitu:

1) Kaedah Tamyiz: Membezakan darah yang keluar tersebut dengan melihat kepada sifat-sifat yang ada pada darah. Darah yang kuat dianggap sebagai darah haid manakala darah lemah dianggap sebagai darah istihadhah. Kaedah ini mesti didahulukan.
2) Kaedah Adat: Jika tidak dapat membezakan jenis darah atau darah hanya bersifat satu warna sahaja (tiada beza) maka boleh ditentukan menggunakaan adat kebiasaan haidnya dengan merujuk kepada kitaran haid yang paling hampir (bulan sebelumnya). Sebagai contoh, adat haidnya 7 hari dan 23 hari adalah tempoh suci. Maka ia boleh ditentukan haidnya boleh jadi hanya 7 hari sahaja dan selebihnya adalah darah istihahdhah. 

Apabila telah ditentukan perbezaan darah haid dan istihadhah, maka semasa keadaan haid tidak sah puasa dan solat yang dilakukan. Sebaliknya, apabila istihadhah, hendaklah dia solat dan berpuasa seperti biasa.

Merujuk kepada soalan, darah yang keluar daripada 8/2/2026 hingga 27/2/2026 (19 hari) adalah darah yang keluar melebihi tempoh maksimum haid iaitu bercampur antara darah haid dan istihadhah. Puan perlu memilih kaedah pertama jika dapat membezakan darah yang keluar. Jika tidak dapat membezakan darah atau darah mempunyai sifat yang sama sahaja, puan perlu menggunakan kaedah kedua iaitu kaedah adat untuk menentukan kiraan haid dan istihadhah. Jika adat haid puan 7 hari dan suci 23 hari, maka 7 hari pertama sahaja dihukumkan sebagai haid dan selebihnya adalah darah istihadhah. Jadi, solat atau puasa yang ditinggalkan semasa tempoh istihadhah hendaklah diqada' semula. 

 والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 37

message user image