Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w.b.t.
Saya ingin memohon pencerahan daripada pihak Mufti berkenaan hukum wanita yang sedang menjalani tempoh idah selepas perceraian.
Latar belakang ringkas:
Mohon pencerahan pihak Mufti bagi persoalan berikut:
Saya amat menghargai sekiranya pihak Mufti dapat memberikan penjelasan berserta dalil dan pandangan para ulama agar saya dapat menjalani tempoh idah dengan sebaik-baiknya mengikut syariat Islam.
Jazakumullahu khairan kathira.
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan:
Isteri dalam tempoh iddah talak raj'i masih di dalam tanggungjawab suami seumpama isteri yang sah. Seandainya salah seorang daripada mereka meninggal dunia, mereka masih mewarisi di antara satu sama lain. Suami juga wajib menyediakan tempat tinggal dan nafkah sepanjang tempoh iddah. Isteri berhak untuk tinggal di tempat tinggal kebiasaan suami isteri, melainkan suami dapat menyediakan tempat lain yang layak bagi isteri dan selamat untuk didiami. Suami berhak untuk rujuk kepada isteri dengan sah tanpa perlu persetujuan atau keizinan daripada isteri.
Dari itu, isteri tidak dibenarkan untuk keluar rumah melainkan dengan izin suami atau sebab-sebab lain yang dibenarkan oleh syarak seperti dalam keadaan mendesak atau darurat, keluar untuk bekerja sekiranya sebelum ini isteri bekerja dan sebagainya.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Talaq, ayat 1:
Maksudnya: Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah mereka dan jangan pula mereka keluar, kecuali jika mereka melakukan perbuatan keji yang nyata.
Berhubung tindakan puan berpindah keluar dari rumah bekas suami, hukum asalnya wanita yang berada dalam idah talak raj'i hendaklah terus menetap di rumah tersebut. Namun, sekiranya terdapat sebab yang munasabah seperti bimbang berlaku kemudaratan, keselamatan terancam, berlakunya konflik yang serius, atau keadaan rumah tidak lagi sesuai didiami, maka sebahagian ulama membenarkan perpindahan berdasarkan keperluan. Kebenaran wanita dalam idah berpindah dari rumah suami bukanlah hukum asal, tetapi merupakan rukhsah (keringanan) apabila wujud keuzuran atau darurat. Perkara seperti ini sebaiknya dirujuk kepada Mahkamah Syariah atau pihak berautoriti bagi memastikan kedudukan hukum berdasarkan fakta sebenar kes.
Berdasarkan soalan-soalan puan di atas :
1. Keluar ke pusat membeli-belah untuk membeli keperluan serta melihat-lihat atau cuci mata.
Sekiranya tujuan utama adalah membeli keperluan diri atau keperluan harian, maka hukumnya diharuskan. Adapun jika selepas membeli keperluan puan melihat-lihat barang secara sederhana tanpa unsur pembaziran, tanpa berhias secara berlebihan dan tanpa tujuan berseronok secara melampau, maka hal tersebut tidaklah dilarang.
Namun, jika tujuan utama keluar hanyalah untuk bersiar-siar tanpa sebarang keperluan, maka ia bercanggah dengan semangat pensyariatan idah yang menuntut wanita memperbanyakkan berada di tempat tinggalnya.
2. Keluar ke pantai, taman rekreasi atau tempat yang menenangkan emosi.
Menjaga kesihatan mental juga merupakan suatu keperluan yang diiktiraf syarak. Oleh itu, jika seseorang mengalami tekanan emosi akibat perceraian, maka keluar ke tempat yang tenang bagi mendapatkan ketenangan adalah diharuskan, yang penting ia dilakukan dengan cara sederhana, menjaga aurat, menjaga batas pergaulan serta tidak melibatkan perkara yang haram atau maksiat.
3. Menghadiri seminar, program, karnival atau majlis yang mempunyai unsur hiburan
Sekiranya program tersebut mempunyai tujuan yang bermanfaat seperti ilmu, pembangunan kerjaya, latihan atau urusan pekerjaan, maka hukum asalnya adalah harus, dengan syarat menjaga aurat, mengelakkan pergaulan bebas, tidak melibatkan maksiat dan tidak melalaikan daripada kewajipan agama.
Adapun jika program tersebut lebih menjurus kepada hiburan semata-mata tanpa sebarang keperluan yang munasabah, maka ia tidaklah diharuskan dan sewajarnya dielakkan sepanjang tempoh idah sebagai menghormati hikmah pensyariatannya.
4. Berkaitan perbezaan antara urusan keperluan, pekerjaan dan rekreasi
a) Urusan keperluan - diharuskan : seperti membeli makanan, mendapatkan rawatan, urusan bank, pejabat kerajaan dan sebagainya adalah diharuskan.
b) Urusan pekerjaan - diharuskan : khususnya apabila ia menjadi sumber pendapatan atau keperluan hidup.
c) Urusan rekreasi - dinilai berdasarkan tujuan. Jika ia sekadar bagi menjaga kesihatan fizikal atau mental secara sederhana, maka diharuskan. Namun jika sekadar untuk berseronok, berhibur atau bersiar-siar tanpa keperluan, maka sebaiknya dielakkan.
5. Berjoging atau berjalan kaki bagi menjaga kesihatan
Aktiviti berjoging atau berjalan kaki di taman rekreasi bagi tujuan menjaga kesihatan adalah diharuskan, lebih-lebih lagi jika dinasihatkan oleh doktor atau pakar kesihatan. Adalah lebih baik aktiviti itu dilakukan pada waktu yang sesuai, ditemani ahli keluarga atau rakan wanita, menjaga aurat, mengelakkan percampuran bebas dengan lelaki ajnabi dan tidak mengambil masa yang berlebihan sehingga menyerupai aktiviti bersiar-siar tanpa tujuan.
6. Keluar bekerja sebagai freelancer
Puan diharuskan keluar bagi menjalankan pekerjaan, menghadiri mesyuarat, bertemu pelanggan atau melaksanakan tugasan kerana mencari nafkah merupakan suatu keperluan yang diiktiraf syarak. Dalam keadaan tersebut, puan hendaklah menjaga adab-adab seorang wanita Muslimah, mengelakkan khalwat, menjaga aurat dan kembali ke tempat tinggal selepas urusan selesai.
Sekian, terima kasih.