Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz / Panel Syariah.
Apahkah hukum faedah denda lewat bayaran kes saman civil mahkamah yang diperintahkan?
Contoh:
A menang kes saman civil ke atas B. Mahkamah mengeluarkan perintah ke atas B supaya membayar sebanyak RM50,000 dalam masa 14 hari kepada A. Sekiranya B membuat bayaran lewat dari 14 hari, mahkamah memerintahkan faedah sebanyak 8% setahun dikenakan ke atas B sebagai denda lewat bayaran.
Oleh kerana B membayar saman tersebut selepas setahun dari tarikh perintah mahkamah, maka B perlu membayar saman berjumlah RM50,000 berserta faedah 8% sebanyak RM4000.
Adakah RM4000 denda lewat bayaran itu dikira sebagai riba?
Sekian terima kasih.
Wasalam.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
Secara umumnya, sebarang bayaran tambahan yang dikenakan ke atas sesuatu hutang semata-mata kerana faktor tempoh masa (time value of money) merupakan riba dan diharamkan oleh syarak. Namun demikian, bayaran tambahan yang benar-benar bertujuan untuk memberikan pampasan terhadap kerugian sebenar (ta‘widh) atau denda bagi tujuan mendisiplinkan pihak yang ingkar (gharamah), tertakluk kepada syarat dan kawalan tertentu, boleh dipertimbangkan sebagai harus menurut prinsip-prinsip Syariah.
Dalam konteks keputusan Mahkamah Sivil, penentuan hukum bagi bayaran tambahan tersebut bergantung kepada sifat dan tujuan sebenar bayaran itu. Jika ia berfungsi seperti faedah konvensional yang memberikan keuntungan ke atas hutang berdasarkan tempoh masa, maka ia termasuk dalam kategori riba. Sebaliknya, jika ia merupakan pampasan yang terhad kepada kerugian sebenar yang diiktiraf oleh Syariah, maka ia boleh diberikan pertimbangan yang berbeza.
Oleh itu, perkara ini perlu dirujuk kepada Mahkamah Sivil bagi meneliti terma kontrak, asas perundangan dan justifikasi bayaran tambahan yang dikenakan ke atas jumlah yang telah diputuskan.
Sekian, terima kasih.