Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya ada soalan mengenai kelewatan melaksanakan solat subuh secara tidak sengaja. Saya ada terdengar bahawa sekiranya terlepas solat subuh tapi dilaksanakan dengan segera menyebabkan solat masih diterima dan tak perlu niat qada subuh. Tetapi bagaimana bagi wanita yang mengalami keputihan dan perlu membersihkan diri dahulu daripada najis sebelum solat subuh yang terlepas tanpa sengaja. Adakah perlu niat untuk solat qada atau berniat seperti biasa?
Jawapan
Berdasarkan soalan yang diajukan, sekiranya terlepas solat subuh secara tidak sengaja dan dalam masa yang sama sedang mengalami keputihan, maka terlebih dahulu puan perlu membersihkan diri daripada najis keputihan dan berwuduk, seterusnyan menunaikan solat subuh tersebut dengan segera. Solat fardhu Subuh wajib dilaksanakan terlebih dahulu dengan niat qada' kerana ia merupakan kewajipan yang perlu diutamakan dalam keadaan tersebut. Sebaiknya diniatkan solat qada' bagi solat fardhu Subuh tersebut kerana telah keluar daripada waktu sebenar walaupun ia dilakukan secara tidak sengaja. Sekiranya diniatkan solat secara tunai sekalipun, ia tetap menjadi qada'. Meninggalkan solat secara tidak sengaja tidak menjadikan seseorang itu berdosa berbanding sekiranya ia dilakukan secara sengaja.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.