BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saya telah berkahwin empat tahun dan kini sedang menjalani rawatan chemo kanser serta mempunyai sejarah Major Depressive Disorder (MDD). Sepanjang tempoh perkahwinan, saya telah berusaha mempertahankan rumah tangga kami melalui komunikasi, doa, mendapatkan rawatan, serta mendapatkan nasihat daripada pihak Pejabat Agama.

Namun, suami telah meninggalkan rumah dan tinggal berasingan sejak beberapa bulan yang lalu selepas berlaku pergaduhan. saya ditampar kerana cuba mengejutkan dia untuk solat subuh. saya ditampar 3 kali.  Dalam tempoh itu beliau pernah menemani saya ke hospital untuk chemo sebanyak 2 kali, tetapi beliau masih enggan pulang ke rumah sebagai suami. Apabila saya bertanya bilakah beliau akan pulang, beliau tidak dapat memberikan sebarang kepastian.

Sepanjang perkahwinan kami juga pernah berlaku beberapa perkara yang sangat memberi kesan kepada saya seperti ditampar, diludah, dimaki dengan kata-kata kesat, dan saya sering dipersalahkan apabila berlaku konflik. pada masa ini saya sakit akibat rawatan kanser payudara, saya juga melalui banyak keadaan sukar tanpa kehadiran suami di rumah.

Saya telah berjumpa pegawai di Pejabat Agama. Pegawai tersebut berpandangan bahawa saya telah berusaha sedaya upaya mempertahankan rumah tangga ini dan apa yang saya harapkan hanyalah perkara asas sebagai seorang isteri. Beliau turut menyatakan bahawa perubahan hanya boleh berlaku jika suami sendiri mahu berubah.

Apabila saya bertanya kepada suami sama ada beliau bersetuju untuk bercerai, beliau menyatakan bahawa beliau tidak mahu bercerai, sebaliknya mahu kami menghadiri sesi kaunseling bersama. Saya bersetuju menghadiri kaunseling. saya dah submit untuk set temujanji Pejabat Agama Islam Daerah Petaling. Namun saya masih tidak mendapat kepastian sama ada beliau akan kembali menjalankan tanggungjawab sebagai suami dengan tinggal bersama saya. dan saya tinggal seorang dirumah. saya tak larat untuk menjaga diri didalam keadaan kanser ini. 

Saya ingin memohon pandangan pihak Mufti:

  1. Apakah hukum seorang suami yang meninggalkan rumah dalam tempoh yang lama tanpa memberikan kepastian bila akan kembali, sedangkan isterinya sedang sakit?
  2. Adakah kegagalan memberikan nafkah batin dan tidak tinggal bersama isteri dalam tempoh yang panjang dianggap sebagai pengabaian tanggungjawab menurut syarak?
  3. Sekiranya selepas sesi kaunseling suami masih tidak berubah atau masih enggan kembali menjalankan tanggungjawabnya, adakah saya dibenarkan meneruskan proses perceraian tanpa berdosa kerana ingin menjaga agama, kesihatan dan maruah diri?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Menjawab pertanyaan puan:

1. Berkenaan suami yang meninggalkan isteri dan tinggal berasingan

Meninggalkan isteri untuk tinggal berasingan tidaklah secara mutlak dihukum haram, kerana terdapat keadaan tertentu yang diiktiraf oleh syarak yang membolehkan suami tinggal berasingan daripada isterinya. Namun demikian, sekiranya suami meninggalkan isteri dalam tempoh yang panjang tanpa alasan syarie yang munasabah, tidak menunaikan hak-hak isteri serta tidak memberikan kepastian untuk kembali menjalani kehidupan berumah tangga, sehingga menyebabkan isteri terabai dan mengalami kemudaratan, maka keadaan tersebut tidak sewajarnya dibiarkan berterusan.

Dalam keadaan demikian, suami boleh dianggap telah mengabaikan sebahagian daripada tanggungjawab dan hak isteri yang wajib ditunaikan. Antara tanggungjawab suami ialah menyediakan tempat tinggal yang sesuai, menunaikan nafkah zahir dan batin serta mempergauli isteri dengan cara yang baik (mu‘asyarah bil-ma‘ruf).

Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 19:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu) dengan cara yang baik.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan puan sedang menjalani rawatan kanser dan tinggal seorang diri, suami sewajarnya mengambil berat terhadap keselamatan, kebajikan dan keperluan puan sebagai isterinya. Sekiranya suami masih menganggap dirinya sebagai suami dan tidak mahu menceraikan puan, maka sewajarnya beliau memberikan komitmen yang jelas untuk memperbaiki rumah tangga serta melaksanakan tanggungjawab yang ditetapkan oleh syarak.

Tidak sepatutnya seorang isteri dibiarkan berada dalam keadaan tergantung tanpa kepastian untuk tempoh yang panjang, sedangkan hak-haknya sebagai seorang isteri tidak ditunaikan dengan sewajarnya.

2. Berkenaan kegagalan menunaikan nafkah batin dan perbuatan menganiaya isteri

Kegagalan suami menunaikan nafkah batin serta tidak tinggal bersama isteri dalam tempoh yang panjang boleh termasuk dalam bentuk pengabaian tanggungjawab suami, bergantung kepada tempoh, sebab dan keadaan sebenar yang berlaku. Pada asasnya, suami berkewajipan menunaikan hak-hak isteri yang menjadi tanggungannya menurut syarak.

Sekiranya suami meninggalkan isteri tanpa alasan yang munasabah menurut syarak dan pada masa yang sama gagal menunaikan hak-haknya, keadaan tersebut boleh menjadi antara alasan yang dipertimbangkan dalam tuntutan pembubaran perkahwinan di Mahkamah Syariah, tertakluk kepada fakta kes, pembuktian dan penilaian Mahkamah.

Begitu juga, perbuatan memukul, meludah dan memaki isteri bukanlah bentuk pergaulan yang baik (mu‘asyarah bil-ma‘ruf), bahkan merupakan perbuatan yang boleh menyakiti dan memudaratkan isteri. Sekiranya perbuatan menyakiti atau menganiaya tersebut berlaku secara berulang sehingga menyebabkan kehidupan isteri menderita, keadaan itu boleh menjadi asas untuk mendapatkan pembubaran perkahwinan melalui Mahkamah Syariah.

Dalam konteks undang-undang keluarga Islam di Selangor, antara alasan fasakh yang diperuntukkan ialah apabila suami “lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan isterinya menderita dengan sebab kelakuan aniaya.”

Oleh itu, sekiranya terdapat perbuatan penganiayaan atau pengabaian yang berterusan, puan boleh mendapatkan nasihat daripada pihak berautoriti dan mengemukakan tuntutan yang bersesuaian di Mahkamah Syariah. Puan juga wajar menyimpan apa-apa bukti berkaitan pengabaian nafkah, tinggal berasingan, perbuatan penganiayaan atau usaha-usaha perdamaian yang telah dilakukan sekiranya perkara tersebut diperlukan dalam prosiding Mahkamah.

3. Berkenaan tindakan memohon perceraian atau fasakh

Sekiranya usaha kaunseling, rundingan dan perdamaian telah dilakukan, tetapi suami masih tidak berubah, enggan kembali menjalankan tanggungjawabnya atau terus membiarkan puan berada dalam keadaan terabai dan menderita, maka puan boleh mempertimbangkan untuk mendapatkan pembubaran perkahwinan melalui saluran yang disediakan oleh syarak dan undang-undang, termasuk permohonan fasakh atau bentuk perceraian yang bersesuaian di Mahkamah Syariah.

Tindakan puan memohon perceraian dalam keadaan sedemikian tidak semestinya dianggap sebagai suatu perbuatan berdosa. Larangan meminta perceraian tanpa alasan yang munasabah hendaklah difahami dalam konteks seorang isteri meminta perceraian tanpa sebab yang diiktiraf oleh syarak. Adapun sekiranya wujud kemudaratan, pengabaian hak, kegagalan menunaikan tanggungjawab atau kehidupan rumah tangga yang menyebabkan penderitaan berterusan, syarak menyediakan jalan penyelesaian bagi menghilangkan kemudaratan tersebut.

Oleh itu, puan tidak semestinya diwajibkan untuk terus bertahan tanpa batas dalam keadaan yang memudaratkan diri hanya kerana suami menyatakan bahawa beliau tidak mahu bercerai. Hak suami untuk tidak bersetuju dengan perceraian tidak bermakna isteri kehilangan hak untuk mendapatkan penyelesaian melalui saluran yang diiktiraf oleh syarak dan undang-undang.

Walau bagaimanapun, sekiranya masih terdapat ruang untuk memperbaiki rumah tangga, usaha perdamaian dan pemulihan hubungan suami isteri sewajarnya diteruskan. Namun, sekiranya usaha tersebut tidak berhasil dan kemudaratan serta pengabaian terus berlaku, puan berhak mendapatkan penyelesaian melalui saluran yang sah, termasuk Mahkamah Syariah, bagi menentukan hak dan kedudukan perkahwinan puan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 65

message user image