Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w.b.t.
Saya ingin memohon pencerahan berkenaan pengiraan tempoh iddah bagi ibu saya.
Ayah saya telah meninggal dunia pada 13 April 2026, bersamaan 25 Syawal 1447H.
Saya difahamkan terdapat dua kaedah pengiraan yang berbeza:
1. Pengiraan yang memberikan tarikh tamat iddah pada 23 Ogos 2026.
2. Pengiraan berdasarkan kaedah fiqh kerana kematian berlaku pada pertengahan bulan Hijrah, yang memberikan tarikh tamat iddah pada 21 Ogos 2026 selepas waktu Maghrib (genap 130 hari).
Mohon pengesahan daripada pihak tuan/puan, apakah tarikh tamat iddah yang tepat mengikut hukum syarak dan amalan rasmi di Negeri Selangor bagi ibu saya yang kematian suami pada 13 April 2026 (25 Syawal 1447H).
Segala penjelasan daripada pihak tuan/puan amat saya hargai.
Terima kasih.
Wassalam.
Jawapan
Tempoh idah bagi wanita yang kematian suami adalah selama empat (4) bulan sepuluh (10) hari berdasarkan bulan Hijri. Pengiraan bermula daripada tarikh kematian dan ditentukan melalui sempadan bulan qamariyah sebenar.
Mula kiraan iddah 13 April 2026 iaitu 24 Syawwal 1447H,
Bulan Syawwal mempunyai 29 hari, maka iddah pada bulan tersebut adalah 6 hari.
Bulan Zulka'dah 29 hari.
Bulan Zulhijjah 30 hari.
Bulan Muharram 29 hari.
Bulan Safar 29 hari.
Bulan Rabiul Awwal 4 hari.
Maka, tarikh tamat iddah seperti berikut:
| Perkara | Tarikh Masihi | Tarikh Hijri | Hari |
|---|---|---|---|
| Tarikh Mula Idah | 13 April 2026 | 24 Syawwal 1447 | Isnin |
| Tarikh Tamat Idah | 17 Ogos 2026 | 4 RabiulAwwal 1448 | Isnin |
| Tempoh Idah | 4 bulan 10 hari | ||
Rujuk Garis Panduan Ber`Iddah Bagi Wanita Yang Bercerai Atau Kematian Suami dan Takwim Jabatan Mufti Negeri Selangor.
Sekian, terima kasih.