Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya telah diceraikan olwh suami saya pada 2023. Sepanjang dalam iddah, saya masih duduk bersama bekas suami saya tetapi saya tidak pernah berkongsi bilik tidur dan tidak pernah melakukan sebarang perbuatan yang dilarang oleh agama. Pada tahun 2022, saya telah berpindah ke rumah sewa lain dan tidak pernah berjumpa dengan bekas suami saya sehinggalah baru-baru ini bila saya terjumpa bekas suami saya, dia mengatakan yang saya masih isterinya yang sah. Bukan itu sahaja, beliau mengatakan yang dia telah melafazkan rujuk kepada saya semasa dalam iddah dahulu, tetapi saya memang tidak mendengar langsung lafaz rujuk tersebut. Sehingga sekarang, bekas suami saya masih mengulangi perkataan yang sama, iaitu dia mengatakan yang saya masih isterinya yang sah. Mohon penjelasan, terima kasih ustaz.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan tersebut, menurut Mazhab Syafi‘i, jika suami menceraikan isteri dengan talak raj‘i, suami memang mempunyai hak untuk melakukan rujuk sepanjang tempoh idah tanpa memerlukan akad nikah baharu. Namun, rujuk hendaklah dilakukan dengan lafaz yang menunjukkan rujuk, bukan semata-mata dengan tinggal serumah, berkongsi makan atau pergaulan biasa.
Dalam kes yang dinyatakan, dakwaan suami bahawa beliau telah melafazkan rujuk perlu diperincikan. Tidak mendengar lafaz rujuk tidak semestinya bermakna rujuk tidak berlaku, kerana rujuk pada asalnya tidak disyaratkan mesti didengar oleh isteri. Ini disebutkan oleh al-‘Imrani dalam al-Bayan:
Maksudnya: sah rujuk tanpa pengetahuan isteri kerana sesuatu yang kesahannya tidak memerlukan keredaan isteri, maka kesahannya juga tidak memerlukan pengetahuan isteri seperti talak
Jika benar suami telah melafazkan lafaz rujuk yang sah ketika idah masih berlangsung, maka rujuk boleh berlaku walaupun isteri tidak mendengarnya.
Adapun dakwaan suami selepas bertahun-tahun bahawa beliau pernah rujuk dahulu, tidak boleh terus dijadikan asas untuk menghukum status perkahwinan, khususnya apabila berlaku pertikaian antara kedua-dua pihak. Perlu dilihat bila talak berlaku, bila idah tamat, lafaz rujuk yang didakwa, serta bukti atau keterangan yang ada.
Tambahan pula, terdapat percanggahan tarikh dalam soalan. Perceraian berlaku pada tahun 2023, tetapi puan berpindah ke rumah sewa pada tahun 2022. Tarikh ini perlu diperbetulkan kerana ianya sangat mempengaruhi hukum.
Saya mengesyorkan kepada puan untuk merujuk perkara ini kepada Bahagian Undang-Undang Keluarga, Pejabat Agama Islam Daerah yang berhampiran untuk pengesahan status cerai dan rujuk. Ini supaya pihak berkaitan boleh meneliti dakwaan bekas suami, tarikh-tarikh berkaitan, lafaz yang dikatakan telah diucapkan dan keterangan kedua-dua pihak.
Sekian, terima kasih.