Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
assalamualaikum, saya ingin bertanya tentang nazar.
saya pernah membuat nazar untuk bersedekah, saya tidak ingat jumlahnya tetapi saya rasa nilainya terlalu banyak dan saya berasakan tidak mampu. boleh kah saya membatalkan nazar tersebut dan membayar kafarah?
saya juga tidak pasti jika saya pernah mengungkap nazar tersebut dengan lisan, namun saya pernah menulisnya didalam telefon bimbit (namun nota tentang nazar tersebut telah hilang). Adakah nazar tersebut masih sah?
jika saya tidak ingat bahawa saya pernah mengucapkan secara lisan, dan menganggap nazar itu tidak sah, padahal sebenarnya saya pernah mengungkapkan ia, adakah saya dianggap berdosa?
mohon jasa baik tuan untuk bantu menjelaskan kekeliruan dan kerisauan. Terima kasih.
Jawapan
Berdasarkan soalan yang diajukan, nazar adalah suatu bentuk janji atau ikrar untuk melakukan kebaikan atau ibadah kepada Allah SWT. Hukum asal nazar adalah wajib ditunaikan sekiranya ia adalah bentuk ketaatan.
Sekiranya seseorang bernazar untuk melakukan sesuatu yang tidak mampu ditunaikan atau dilaksanakan, atau sekiranya dia bernazar sesuatu yang mampu ditunaikan tetapi kemudian (selepas beberapa ketika) menjadi tidak mampu, maka dia hendaklah membayar kafarah yamin (kafarah sumpah). Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 89:
Maksudnya: Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan sederhana (yang biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian, sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda tesebut), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (hukum-hukum ugama-Nya) supaya kamu bersyukur.
Adapun perbuatan nazar pada asalnya memerlukan lafaz secara lisan yang jelas. Sekiranya tidak pasti sama ada puan pernah melafazkan nazar tersebut secara lisan, dan hanya menuliskannya di telefon bimbit (yang kemudian hilang), maka terdapat perbezaan pandangan ulama. Secara umumnya, niat sahaja tidak mencukupi untuk menjadikan nazar sah tanpa lafaz lisan. Namun, jika penulisan itu dianggap sebagai pengganti lafaz lisan dengan niat yang jelas, sebahagian ulama berpandangan ia adalah sah. Walau bagaimanapun, ketiadaan bukti lafaz lisan dan kehilangan nota menjadikan kesahihan nazar tersebut diragui. Apabila diragui adakah telah dilafazkan nazar atau tidak secara lisan maka hukum asalnya adalah ia belum dilafazkan sehingga terbukti ia dilafazkan, ini berdasarkan kaedah:
Maksudnya: Hukum asal ialah seseorang bebas daripada tanggungan.
Namun, menganggap nazar itu tidak sah sedangkan sebenarnya pernah mengungkapkan nazar tersebut adalah perbuatan yang tidak wajar. Sekiranya terlupa, adalah dimaafkan.
Sekian, terima kasih.