BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, ustaz. Tempat kerja saya tidak menyediakan tempat solat. Jadi, kami mencari tempat yang mana boleh kami solat. Ada yang solat di bawah tangga dan ada juga yang solat di ruang lapang dalam tandas. Soalan saya, bolehkah solat di ruang lapang dalam tandas? Dengan ini, saya juga sertakan gambar untuk rujukan ustaz. Pintu yang separa tertutup itu tandas, tikar yang dihampar itu tempat kami solat. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَهَى أَنْ يُصَلَّى فِي سَبْعَةِ مَوَاطِنَ فِي الْمَزْبَلَةِ وَالْمَجْزَرَةِ وَالْمَقْبُرَةِ وَقَارِعَةِ الطَّرِيقِ وَفِي الْحَمَّامِ وَفِي مَعَاطِنِ الإِبِلِ وَفَوْقَ ظَهْرِ بَيْتِ اللَّهِ  ‏

Maksudnya: Rasulullah SAW melarang solat di tujuh tempat: tempat (pembuangan) sampah, tempat penyembelihan haiwan, perkuburan, di tengah jalan, tempat pemandian (tandas), tempat unta, dan di atas Kaabah. (Riwayat al-Tirmizi)

Imam al-Nawawi menyebutkan antara sebab dilarang solat di tandas adalah kerana tandas tempat mensucikan najis. Namun begitu, disebutkan sekiranya bersolat di tempat yang diyakini suci, maka sah solat. Sebab yang kedua, tandas dilarang dijadikan tempat untuk menunaikan solat adalah kerana, ia merupakan tempat tinggal syaitan. Imam al-Nawawi menegaskan:

وَالْأَصَحُّ أَنَّ سَبَبَ النَّهْيِ كَوْنُهُ مَأْوَى الشَّيَاطِينِ فَتُكْرَهُ كَرَاهَةَ تَنْزِيهٍ وَتَصِحُّ الصَّلَاةُ

Maksudnya: Yang paling sahih bahawa sebab larangan (solat di tandas) kerana ia adalah tempat tinggal syaitan, maka (hukum solatnya) makruh tanzih (yang tidak membawa kepada dosa) namun solatnya adalah sah. (al-Majmu’, 3/166).

Merujuk kepada persoalan, solat di dalam tandas adalah dilarang kerana ia adalah tempat mensucikan najis dan tempat tinggal syaitan. Sekiranya solat di dalam tandas yang diyakini suci, hukumnya makruh tanzih namun sah. Adapun sebaiknya solat di ruangan lapang yang lain lebih baik.

والله أعلم بالصواب

Sekian, Terima Kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 24

message user image