Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum saya nak tanya berkenaan Wang Hantaran. Adakah wang hantaran patut ditunjukkan bukti dekat :
- ibu bapa
- tok kadi
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudari, dari sudut syarak, tiada kewajipan untuk menunjukkan bukti pembayaran mahar kepada ibu bapa. Bagi tok kadi atau jurunikah pula, jumlah mas kahwin perlu dinyatakan dan direkodkan dalam dokumen perkahwinan, manakala bukti pembayaran secara fizikal hanya diperlukan jika ditetapkan oleh pihak berkuasa agama.
Walaupun bukti pembayaran bukan suatu kewajipan mutlak, menyimpan bukti pembayaran mahar adalah sangat digalakkan bagi mengelakkan perselisihan pada masa akan datang. Jika berlaku pertikaian antara suami dan isteri mengenai pembayaran mahar, kaedah umum ialah “bukti atas pihak yang mendakwa dan sumpah atas pihak yang menafikan.” Oleh itu, bukti pembayaran boleh menjadi sandaran penting bagi menentukan sama ada mahar telah dibayar atau masih menjadi tanggungan suami.
Sekian, terima kasih.