BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya nak bertanya tentang hukum duit affiliate dalam situasi di bawah.

Saya promote barangan patuh syariah melalui link. Ada platform yang menggunakan kaedah 'cookies'. Bila orang click link saya, 'cookies' akan ditanam selama 7 hari di dalam 'device' mereka.

Jika orang yang click link saya tadi, membuat pembelian apa-apa barang (bukan barang yang saya promote), saya akan dapat commission (indirect comission)

Apakah hukum duit indirect comission saya, jika orang tersebut membeli barang yang haram (contoh: arak). Sekiranya haram, apakah yang perlu dilakukan oleh saya.

 

terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Daripada al-Nu’man bin Basyir RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، والْحَرَامَ بَيِّنٌ، وبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وعِرْضِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara samar (syubhat) yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga (menjauhi) perkara syubhah (kesamaran), maka ia telah menyelamatkan agama dan maruahnya.  (Riwayat al-Bukhari)

Sebaiknya tuan berhati-hati dalam menjana pendapatan daripada sumber yang bukan dalam kawalan tuan khususnya berkaitan penerimaan komisen daripada pembelian produk haram.

Sebagaimana firman Allah SWT al-Maidah ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Sekiranya boleh mengasingkan komisen yang datangnya sumber haram, maka ia perlu diasingkan, tidak boleh digunakan dan ia perlu diserahkan kepada Baitulmal, Majlis Agama Islam negeri-negeri yang berdekatan. Namun, sekiranya tidak boleh membezakan antara komisen halal dan haram, adalah sebaiknya ditinggalkan perniagaan seperti ini.

والله أعلم بالصواب 

Sekian, terima kasih


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 32

message user image