BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Soalan: Assalam Tuan Mufti. Saya meminta pencerahan tentang hukum ke atas membeli pangkalan data dari individu degan tujuan mencari sales untuk pekerjaan saya. Pekerjaan yang saya lakukan adalah elok cuma sumber untuk saya mendapatkan sales itu salah satu nya adalah dari cara yang saya sebutkan. Nawaitu saya untuk membantu client saya mempunyai simpanan yang bagus untuk hari tua mereka. Apakah berdosa dan jatuh haram wang gaji yang saya dapat dari hasil pembelian pangkalan data dari individu yang tidak dikenali yang mendapat maklumat client dari hasil yang tidak pasti. Niat saya untuk mencari rezeki tetapi saya rasa seperti 'niat saya tidak menghalal kan cara''. Mohon jasa baik pihak tuan mufti utk menyelesaikan persoalan Terima kasih. 


message user image

Jawapan  

والسلام عليکم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan tersebut, terdapat dua perkara yang perlu ditanggapi:

  1. Hukum memperoleh dan menggunakan pangkalan data
  2. Hukum pendapatan yang diperoleh daripada pekerjaan menggunakan pangkalan data tersebut.

Secara asasnya, Islam mengiktiraf hak individu terhadap maklumat peribadi mereka. Mengambil, menjual atau mendedahkan maklumat peribadi tanpa kebenaran pemiliknya merupakan suatu perbuatan yang termasuk dalam pencerobohan hak dan pengkhianatan terhadap amanah, lebih-lebih lagi jika data tersebut diperoleh melalui cara yang tidak sah atau tidak diketahui sumbernya. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidan ayat 2:

وَلا تَعاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوانِ

MaksudnyaDan janganlah kamu saling membantu dalam melakukan dosa dan permusuhan.

Justeru, sekiranya terdapat sangkaan yang kuat bahawa pangkalan data tersebut diperoleh melalui pelanggaran undang-undang, pecah amanah, kebocoran maklumat atau tanpa keizinan pemilik data, maka tidak harus membelinya atau menggunakannya kerana ia termasuk membantu kepada suatu bentuk pencerobohan hak orang lain. Di Malaysia, terdapat Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010 yang melindungi maklumat peribadi daripada digunakan tanpa persetujuan.

Namun begitu, sekiranya pangkalan data itu diperoleh secara sah, seperti pelanggan telah memberikan persetujuan untuk dihubungi atau data tersebut merupakan senarai prospek yang dijual secara sah oleh syarikat yang diberi kuasa maka pada asalnya tiada halangan syarak untuk menggunakannya bagi tujuan pemasaran produk.

Berhubung dengan pendapatan pula, hukum gaji atau komisen bergantung kepada sifat pekerjaan dan cara memperoleh pelanggan. Jika pekerjaan yang dilakukan adalah harus, produk yang ditawarkan juga patuh syariah, tetapi proses mendapatkan pelanggan bergantung kepada pangkalan data yang diketahui atau disangka kuat diperoleh secara tidak sah, maka perbuatan menggunakan data tersebut adalah suatu kesalahan. Dalam keadaan ini, seseorang hendaklah berusaha meninggalkan kaedah tersebut dan beralih kepada sumber prospek yang jelas halal. Adapun gaji yang diterima tidak semestinya dihukum haram secara mutlak, khususnya jika ia merupakan upah terhadap kerja yang harus, namun unsur yang tidak patuh syarak dalam memperoleh pelanggan tetap perlu dielakkan.

Sebaliknya, jika pembelian pangkalan data dibuat tanpa mengetahui asal usulnya, dan tiada petunjuk bahawa ia diperoleh secara tidak sah, maka hukum asal ialah harus sehingga terbukti sebaliknya. Namun, apabila timbul keraguan yang munasabah terhadap sumber data tersebut, adalah lebih baik mendapatkan pengesahan daripada penjual bahawa data itu diperoleh dengan keizinan yang sah atau memilih pembekal yang diyakini mematuhi undang-undang dan etika perlindungan data.

Kesimpulannya, niat yang baik seperti membantu pelanggan merancang kewangan tidak menghalalkan cara yang salah. Pada masa yang sama, seseorang juga tidak boleh terus menghukum pendapatannya sebagai haram semata-mata kerana wujud keraguan terhadap sumber pangkalan data. Yang lebih utama ialah memastikan pangkalan data yang digunakan diperoleh secara sah dengan keizinan pemilik data. Sekiranya terdapat sangkaan yang kuat bahawa data tersebut diperoleh secara tidak sah, maka hendaklah ditinggalkan dan digantikan dengan kaedah mendapatkan pelanggan yang lebih diyakini keharusannya.

 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 23

message user image