Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum tuan. Saya nak bertanya . Satu lafaz taklik yang suami saya lafaz kan.
kami ada pergaduhan.sebelum suami saya nak keluar dia ada melafazkan.
Kau jangan keluar ,kalau kau keluar aku ceraikan kau talak 3 .
Suami saya maksudkan saya tidak boleh keluar daripada rumah sekali semasa dia keluar tu dan dia nak dia balik saya ada dirumah.
Suami menyata kan faktor dia melafazkan kerana saya pernah keluar daripada rumah selepas pertikaian .
Sepanjang suami saya berada diluar saya tidak ingkar dan duduk dirumah sahaja. Saya keluar selepas dia pulang.
Adakah lafaz itu telah tamat setelah dia balik?
Jawapan
Dalam situasi ini, perkara utama ialah maksud suami ketika melafazkan taklik tersebut dan keadaan yang menjadi syarat talak. Berdasarkan penjelasan puan, suami memang bermaksud, puan tidak keluar dari rumah sepanjang dia keluar dan sehingga dia pulang, maka lafaz tersebut boleh difahami sebagai taklik yang terikat dengan tempoh dan keadaan tersebut.
Oleh sebab puan tidak keluar sepanjang suami berada di luar, sebaliknya hanya keluar selepas suami pulang, maka syarat yang dimaksudkan suami tidak berlaku dalam tempoh tersebut. Dengan itu, talak tidak jatuh berdasarkan lafaz tersebut.
Berkenaan persoalan sama ada lafaz taklik itu telah tamat selepas suami pulang pula adalah bergantung kepada niat suami ketika melafazkan taklik tersebut. Jika benar niat dan maksud suami ketika melafazkannya adalah khusus kepada tempoh dia keluar rumah tersebut, maka setelah dia pulang dan tempoh yang dimaksudkan itu berakhir, taklik tersebut juga tidak lagi terpakai. Keluar selepas suami pulang tidak dianggap memenuhi syarat yang dimaksudkan ketika lafaz dibuat. Namun, jika ketika lafaz dibuat suami tidak menetapkan tempoh tertentu dan lafaznya bermaksud secara umum, “jangan keluar; kalau keluar, jatuh talak”, maka hukumnya boleh berbeza kerana syarat tersebut mungkin masih terpakai selepas dia pulang.
Oleh itu, dalam kes puan, penentuan sebenar sangat bergantung kepada maksud suami ketika lafaz dibuat, khususnya sama ada dia bermaksud larangan itu hanya sepanjang dia berada di luar atau larangan keluar secara umum.
Walau bagaimanapun, memandangkan penentuan hukum dalam kes talak adalah di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah sebagai pihak yang berautoriti, apatahlagi sekiranya berlaku ketidakpastian atau keraguan sama ada syarat taklik telah dipenuhi atau tidak, maka puan bolehlah dalam kadar segera merujuk perkara ini ke Mahkamah Syariah yang berhampiran kerana mereka adalah pihak yang berbidang kuasa untuk meneliti keterangan pihak-pihak dan memutuskan status talak menurut hukum syarak dan undang-undang yang berkuat kuasa.
Sekian, terima kasih