Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum saya ingin bertanya mengenai zihar.
Pada malam 29Julai2026, anak perempuan saya yang berusia 1 tahun 10 bulan sedang memakan jajan. Suamk saya berkata, " Aleesya makan banyak nanti gemuk macam abah. Ha..aleesya makan banyak nanti gemuk macam ibu". Untuk pengetahuan, saya sekarang mengandung anak kedua dan usia kandungan 29 minggu.
Adakah ini dikira sebagai zihar?
Jawapan
Menjawab pertanyaan puan :
Zihar ialah ucapan suami yang menyerupakan isterinya, atau mana-mana bahagian tubuh isterinya, dengan seorang perempuan yang haram dinikahinya selama-lamanya seperti ibu, saudara perempuan, anak perempuan atau ibu saudara, dengan maksud menjadikan isterinya seperti perempuan tersebut dari sudut pengharaman hubungan suami isteri.
Berdasarkan lafaz yang puan nyatakan, ia tidak dikira sebagai zihar. Ini kerana suami tidak menyamakan tubuh atau mana-mana anggota badan puan dengan tubuh atau anggota badan ibunya. Sebaliknya, beliau sedang bercakap kepada anak kecil tentang kemungkinan anak menjadi gemuk seperti ibu dan ayah.
Dalam hukum zihar, asasnya ialah suami menyamakan isterinya atau anggota badan isterinya dengan wanita yang haram dikahwininya selama-lamanya, seperti ibu. Lafaz zihar yang jelas contohnya ialah “Engkau bagiku seperti belakang ibuku.”
Malah, lafaz perbandingan tertentu yang tidak secara jelas membawa maksud zihar hanya menjadi zihar sekiranya terdapat niat menziharkan isteri.
Justeru, puan tidak perlu menganggap telah berlaku zihar dan tidak perlu kaffarah zihar berdasarkan lafaz yang dinyatakan itu.
Sekian, terima kasih