Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya menghidapi penyakit eczema di tangan dan celah-celah jari yang amat sensitif terhadap air, sabun dan sebagainya. Jadi, saya perlu kerap pakai 'lotion' ataupun cream bagi melembapkan dan melegakan kondisi tangan.
Apabila saya ingin mengambil wudhu', saya akan mencuci tangan dengan sabun terlebih dahulu sehingga tiada sisa lotion, contohnya rasa licin dan kelihatan berkilat. Namun, disebabkan saya akan melakukan hal itu setiap kali ingin mengambil wudhu', kondisi tangan saya tidak beransur pulih dengan baik. Kulit saya akan kering, kemerah-merahan dan gatal. Tambahan, bagi kulit eczema, lebih banyak kali cuci tangan, lebih teruk keadaannya kerana kulit akan semakin kering.
Persoalannya, bolehkah saya hanya bilas tangan dengan air dahulu (tanpa sabun) sebelum ambil wudhu'?
Ataupun...
Bolehkah saya terus mengambil wudhu' tanpa mencuci lotion/cream tersebut?
Persoalan kedua pula, adakah boleh mengikut fatwa negeri lain?
Terima kasih ☺
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan tersebut, dalam Mazhab Syafi’i bahan-bahan yang boleh menghalang air daripada diratakan ke seluruh anggota semasa taharah seperti mandi wajib atau wuduk mesti dihilangkan terlebih dahulu, al-Nawawi menulis dalam Al-Majmu’:
Maksudnya: Jika pada sebahagian anggota terdapat lilin, doh, inai atau seumpamanya yang masih berbaki jirimnya sehingga menghalang sampainya air, maka taharahnya tidak sah.
Walau bagaimanapun, Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat ke-185:
Maksudnya: Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.
Berdasarkan ayat ini, kita dapat memahami bahawa Islam ini adalah agama yang berdiri di atas konsep taisir (kemudahan) terutama sekiranya ada masyaqqah (kesukaran) bagi hamba-hamba Allah ketika melaksanakan ibadah sebagaimana kaedah fiqh menetapkan:
Maksudnya: Kesukaran mendatangkan kemudahan.
Oleh itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam Panduan Bersuci dan Bersolat Bagi Pesakit menyebutkan tentang cara berwuduk bagi pesakit yang sebahagian anggota wuduknya tidak boleh dikenakan air:
Tentang soalan mengikuti fatwa negeri lain, secara umumnya fatwa-fatwa di Malaysia adalah tidak mengikat umat Islam di negeri tersebut melainkan jika ianya telah diwartakan dan menjadi undang-undang seperti urusan nikah, cerai, zakat, wakaf dan seterusnya.
Oleh kerana hal ehwal agama Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri, maka langkah terbaik adalah mengikuti fatwa negeri masing-masing yang mana tiap-tiap negeri mempunyai jawatankuasa fatwa dan jabatan mufti yang tersendiri. Ini adalah untuk mengelakkan perbuatan tatabbu’ al-rukhas (bermudah-mudahan dalam memilih pandangan) dan bermain-main dengan hukum-hakam agama.
Sekian, terima kasih.