Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ingin tanya tentang hukum makanan dan minuman yang dirasa di tekak. Selalunya selepas makan saya akan rasa makanan dan minuman naik dan turun tekak saya sekitar sejam, saya tidak pasti jika ia dari perut atau hanya dikira pergerakan sekitar waktu makan. Adakah perkara tersebut dikira najis dan saya perlu berkumur untuk membersihkan tekak? Kadangkala saya merasainya di bahagian kawasan huruf ha pedas yang menyebabkan saya risau ia dikira najis dan perlu disucikan. Terima kasih.
Jawapan
Menjawab persoalan puan tersebut, tidak perlu menganggap rasa makanan atau minuman yang naik semula ke tekak itu sebagai najis dan tidak wajib berkumur atau menyucikan tekak hanya kerana merasainya.
Jika yang dirasai itu sekadar rasa makanan atau minuman yang naik dan turun semula tanpa yakin bahawa ia adalah muntah yang keluar dari perut, maka hukum asalnya adalah suci.
Lebih-lebih lagi apabila puan sendiri menyatakan: “Saya tidak pasti jika ia dari perut atau hanya dikira pergerakan sekitar waktu makan”. Keraguan seperti ini tidak mengubah hukum asal iaitu suci. Kaedah fiqh menyebut:
Maksudnya: Keyakinan tidak dihilangkan dengan keraguan.
Lokasi rasa tersebut sama ada di bahagian halkum, sekitar makhraj ha’ pedas atau bahagian tekak yang lain tidak menjadikannya najis. Najis bukan dihukum berdasarkan tempat sesuatu rasa itu dirasai tetapi berdasarkan hakikat benda tersebut. Jadi, jika selepas makan puan terasa rasa pedas, masam, manis atau rasa makanan di kawasan tekak, jangan terus menghukum bahawa ia najis.
Sekian, terima kasih.