BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Saya nak tanya berkenaan hukum bersalaman.

Pertama. Setahu saya, suami saya tidak boleh bersalaman dengan isteri kepada bapa saudaranya. Macam mana pula kalau anak saya lelaki umur 10 tahun? Boleh ke bersalam dengan isteri kepada bapa saudara suami? 

Kedua. Suami tidak boleh bersalam dengan sepupu perempuan, macam anak saya yang umurnya 10 tahun tadi? Boleh ke dia bersalaman dengan sepupu perempuan suami?

Terima kasih. 


message user image

Jawapan  

 وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan saudari, hukum bersalaman antara lelaki dan wanita yang bukan mahram pada asasnya adalah tidak dibenarkan, khususnya menurut mazhab Syafi'i. Dalam situasi ini, isteri kepada bapa saudara dan sepupu perempuan suami merupakan wanita bukan mahram kepada suami. Oleh itu, suami tidak dibenarkan bersalaman dengan kedua-duanya. Hal ini berdasarkan pandangan ulama yang melarang sentuhan antara lelaki dan wanita bukan mahram. Mazhab Syafie mengharamkan sentuhan dan pandangan kepada wanita secara mutlak, walaupun wanita itu sudah tua. Hadis dari Aisyah R.A;

ما مس رسول الله ﷺ يد امرأة قط، إلا أنه كان يأخذ عليها، فإذا أخذ عليها فأعطته قال : اذهبي فقد بايعتك . وجاء في شرحه : «ما مس ﷺ يد امرأة قط لكن يأخذ عليها البيعة بالكلام، فإذا أخذها بالكلام قال : اذهبي فقد بايعتك

Rasulullah ﷺ tidak pernah menyentuh tangan mana-mana wanita sama sekali, melainkan baginda mengambil bai'ah daripada mereka. Apabila baginda mengambil bai'ah daripada mereka dan mereka memberikannya, baginda bersabda: 'Pergilah, sesungguhnya aku telah berbai'ah denganmu.' Dan dalam syarahnya disebutkan: 'Baginda ﷺ tidak pernah menyentuh tangan mana-mana wanita sama sekali, tetapi baginda mengambil bai'ah daripada mereka dengan perkataan. Apabila baginda mengambilnya dengan perkataan, baginda bersabda: 'Pergilah, sesungguhnya aku telah berbai'ah denganmu. (Riwayat Tirmizi dan Nasa'i)

Bagi anak lelaki berumur 10 tahun, hukumnya bergantung kepada keadaan anak tersebut. Jika masih belum baligh dan belum mencapai tahap yang boleh menimbulkan syahwat atau fitnah, terdapat kelonggaran untuk bersalaman dengan wanita bukan mahram. Namun, apabila anak tersebut telah baligh atau sentuhan itu dikhuatiri menimbulkan syahwat atau fitnah, maka hukumnya sama seperti lelaki dewasa dan tidak dibenarkan bersalaman dengan wanita bukan mahram.

Dalam keadaan tertentu, terdapat perbezaan pandangan ulama, antaranya berkaitan wanita yang sudah tua dan tidak menimbulkan syahwat. Walau bagaimanapun, mengikut mazhab Syafi'i, sentuhan dengan wanita bukan mahram tetap tidak dibenarkan walaupun wanita tersebut sudah tua. Bersalaman dengan menggunakan penghalang yang mengelakkan sentuhan kulit secara langsung pula adalah dibenarkan.

Kesimpulannya, suami tidak boleh bersalaman dengan isteri bapa saudaranya atau sepupu perempuannya kerana kedua-duanya bukan mahram, manakala anak lelaki berumur 10 tahun diberikan kelonggaran selagi belum baligh dan tidak menimbulkan syahwat atau fitnah.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 52

message user image