Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan/puan, saya ada 1.
Soalan:
1. Saya dulu pernah membeli pack random. (1 pack ada 10 jenis kad yang tidak diketahui nilainya). Saya beli disebabkan nama dimasukkan di dalam Cabutan Bertuah. Semasa pembelian tersebut saya dapati saya dapat kad yang harganya beribu ringgit dengan bermodalkan rm20 sahaja untuk 1 pack / 10 kad random.
Tujuan saya dulu adalah nak nama untuk cabutan bertuah. Jadi sekarang ini cabutan bertuah dah habis. Saya boleh jual balik ke kad tersebut? Ada orang dapat kad mahal ada yang dapat murah. Bergantung pada random pack tersebut.
Sbbnya, jual beli ada 3 jenis kan?
1.) pemerintah tetapkan harga
2.) tak ditetapkan harga namun keperluan org ramai
3.) bukan keperluan dan harga mengikut persetujuan pembeli
Jadi sy berpegang pd no.3, adakah betul situasi sy ni? Serta Pembeli dan Penjual tahu apa yang dibeli.. Cuma isunya dari random pack yang diperolehi. Setakat ini kad2 yg mahal saya simpan je tak jual sebab hukum tak jelas. Belum ada pandangan yg jelas disudut hukum berkenaan ini.
Mohon pencerahan
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan,
Daripada penerangan yang diberikan, pembelian random pack atau seumpama dengannya mempunyai unsur ketidakjelasan (gharar) kerana pembeli tidak mengetahui jenis kad yang akan diperolehi. Walau bagaimanapun, isu ini hendaklah dilihat berdasarkan tahap ketidakpastian serta perbezaan nilai antara kad-kad yang mungkin diperolehi.
Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang jual beli al-hashah (melempar batu) dan jual beli gharar (ketidakjelasan).
(Riwayat Muslim)
Pada asasnya, random pack yang menawarkan kad secara rawak menyebabkan pembeli tidak dapat menentukan jenis kad yang akan diperolehi. Namun, keadaan tersebut tidak semestinya menjadikan jual beli tidak sah atau mengandungi unsur perjudian. Ketidakpastian yang wujud hendaklah dinilai sama ada mencapai tahap gharar fahish (ketidakjelasan yang besar) atau sekadar gharar yasir (ketidakjelasan yang kecil dan dimaafkan).
Sekiranya semua kad yang berkemungkinan diperolehi mempunyai nilai atau harga yang hampir sama, serta pembeli telah mengetahui dan bersetuju dengan konsep pembelian secara rawak tersebut, maka unsur gharar yang wujud adalah kecil dan tidak menjejaskan kesahan jual beli.
Sebaliknya, sekiranya terdapat kad-kad tertentu yang mempunyai nilai atau harga yang jauh lebih tinggi berbanding kad-kad yang lain, sedangkan pembeli membayar harga yang sama dan peluang untuk memperolehinya bergantung kepada nasib, maka keadaan tersebut boleh mengandungi unsur gharar fahish dan maisir (perjudian). Lebih-lebih lagi sekiranya tujuan pembelian adalah untuk mendapatkan kad yang bernilai tinggi dengan mempertaruhkan sejumlah wang bagi memperoleh kad yang tidak diketahui.
Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW bersabda:
Maksudnya: Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan perkara yang haram itu jelas, dan di antara kedua-duanya terdapat perkara-perkara syubhah yang kebanyakan manusia tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga diri daripada perkara syubhah, maka dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Justeru, hukum pembelian random pack hendaklah ditentukan berdasarkan kandungan, nilai kad dan mekanisme jual beli yang digunakan. Pembeli hendaklah memastikan bahawa pembelian tersebut tidak melibatkan perbezaan nilai yang ketara antara kad-kad yang mungkin diperolehi serta tidak bertujuan untuk mendapatkan keuntungan berdasarkan nasib semata-mata.
Adapun menjual semula kad yang telah dimiliki, maka jual beli tersebut adalah harus dan sah, sekiranya barang yang dijual jelas, harganya diketahui serta memenuhi rukun dan syarat jual beli yang ditetapkan oleh syarak.
Sekian, terima kasih