Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum
Sebelum ni saya pernah membaca satu soalan berkaitan tiru dalam peperiksaan.
2. Jika pelajar tersebut mendapat keputusan yang cemerlang keseluruhan dan mendapat peluang mengubah pinjaman pendidikan beliau kepada biasiswa, apakah status biasiswa tersebut, adakah halal atau haram untuk diterima dan digunakan jika ada baki ? wallahua'alam. terima kasih pihak mufti selangor menjawab persoalan saya.
Jawapan sebelum ini yang diberikan:
Berkenaan dengan status sijil yang diterima, ianya boleh digunakan dalam mencari pekerjaan dan biasiswa yang diterima boleh digunakan untuk menampung kos sepanjang sesi pembelajaran. Sekiranya ada baki daripada biasiswa tersebut, sebagai tanda warak adalah lebih baik ianya tidak digunakan untuk kepentingan diri sendiri, ianya boleh diberikan kepada pihak-pihak tertentu seperti Baitul Mal, Majlis Agama Islam Negeri dan lain-lain.
-->Soalan tambahan saya seseorang perlu bayar jika ada baki sahaja atau perlu bayar kesemua jumlah yang diterima. Contoh telah menerima RM 30,000 dan perlu bayar secara ansuran RM30,000 kepada baitulmal dan lain-lain.
Terima Kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan tersebut, terdapat banyak nas syarak melalui al-Quran dan al-Sunnah yang melarang penipuan terutama untuk mendapatkan harta.
1. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 188:
Maksudnya: Dan janganlah kamu makan (mengambil) harta sesama kamu dengan jalan yang batil.
2. Hadis Rasulullah SAW daripada Abu Hurairah RA:
Maksudnya: Orang yang menipu bukan dari kalangan kami.
(Riwayat Abu Dawud)
Ibn Hajar al-Haitsami dalam al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabair menyenaraikan perbuatan menipu sebagai salah satu dosa besar.
Perihal biasiswa yang diperolehi kerana memperolehi grade keputusan yang baik yang dicapai dengan cara meniru atau menipu semasa peperiksaan, berdasarkan jawapan sebelum ini, jika ingin bersifat warak, namun tidak mewajibkan, sekiranya terdapat baki boleh diserahkan kepada Baitulmal di bawah Majlis Agama Islam Negeri untuk digunakan bagi perkara-perkara melibatkan kepentingan awam. Sekiranya tidak ada baki daripada wang tersebut, maka tidak perlu menyerahkan apa-apa kepada Baitulmal, sebaliknya hendaklah memperbanyakkan bersedekah dan memohon taubat kepada Allah ‘Azza wa Jall.
Sekian, terima kasih.