Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Datuk/Datin/Tuan/Puan/Encik/Cik,
Saya ingin mendapatkan penjelasan berkenaan hukum pelaksanaan ibadah puasa bagi individu berkeperluan khas menurut syarak.
Terdapat seorang individu yang telah mencapai usia baligh (12 tahun), namun mempunyai tahap perkembangan kognitif yang sangat terhad sejak kecil, sehingga tidak berupaya memahami serta menguruskan kefahaman seperti individu normal.
Sehubungan itu, saya ingin mendapatkan pencerahan mengenai perkara berikut:
Segala penjelasan daripada pihak Tuan/Puan amat saya hargai.
Sekian, terima kasih.
Jawapan
Seorang yang mukallaf adalah orang yang dipertanggungjawabkan dengan kewajipan dan perintah untuk menjalankan tuntutan agama Islam serta menjauhi larangan-Nya. Dalam erti kata yang lain individu tersebut sudah mencapai usia dewasa dan mempunyai akal, baligh serta telah sampai seruan syariat Islam kepadanya. Jika seseorang yang tidak memenuhi syarat tersebut maka dia danggap sebagai orang tidak mukallaf atau belum/ tidak dibebani dengan hukum syariat Islam
Berdasarkan rujukan dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) secara amnya, terdapat tujuh kategori OKU yang didaftarkan di bawah JKM iaitu:
Merujuk kepada soalan yang dikemukakan, salah satu syarat taklif terhadap individu adalah berakal. Jika seseorang mengalami tahap perkembangan kognitif yang sangat terhad, maka bolehlah dikategorikan seperti dalam senarai di atas. Justeru, dalam menentukan sama ada seseorang tersebut boleh dianggap sebagai mukallaf ataupun tidak, hendaklah dibezakan berdasarkan kepada tahap-tahapnya.
Tahap pertama jika tahap gangguan mentalnya berada pada tahap yang kronik sehingga tidak mampu untuk dikawal bahkan mungkin boleh bertindak ganas sehingga mencederakan orang lain atau seumpamanya, maka ketika ini dia tidak lagi dikategorikan sebagai orang yang diberi taklifan dalam agama dan kewajipan tersebut adalah tergugur daripadanya seperti puasa dan ibadah-ibadah lain.
Namun jika tahap gangguan akalnya tidak kronik, bahkan masih lagi mampu untuk berfikir dan bertindak secara rasional, cuma kadang-kadang sahaja gangguan tersebut datang atau seumpamanya, maka ketika dia tidak didatangi dengan gangguan atau penyakit mental tersebut atau ketika dia masih dalam keadaan waras, dia masih dikira sebagai seorang mukallaf dan perlu menunaikan taklifan dalam agama sekadar yang dia termampu. Sesungguhnya agama Islam bersifat memudahkan dan tidak menyusahkan.
Sekiranya seseorang tersebut sudah tidak diwajibkan berpuasa kerana keterbatasan kognitif yang menghalang mereka daripada menjadi mukallaf, maka tidak ada kewajipan fidyah ke atas mereka atau pun penjaga mereka. Kewajipan fidyah biasanya dikenakan kepada mereka yang tidak mampu berpuasa disebabkan oleh usia tua atau penyakit yang tiada harapan sembuh tetapi mereka masih mukallaf.
Untuk itu, boleh dirumuskan bahawa individu yang telah mencapai usia baligh tetapi mempunyai perkembangan kognitif yang sangat terhad sehingga tidak mampu memahami tanggungjawab syarak tidak dianggap mukallaf sepenuhnya. Kewajipan agama seperti solat, puasa, dan lain-lain tidak dikenakan ke atasnya kerana syarat akal yang sempurna tidak terpenuhi. Walau bagaimanapun, penjaga perlu sentiasa mendidiknya mengikut kemampuannya.
Sekian, terima kasih.