Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz dan Ustazah.
Saya ada pertanyaan berkenaan tentang hutang.
Emak saya telah meminjam duit rakan-rakan sekolah dia (erti lain, scam). Tentang jumlah, Wallahualam dan banyak. Sekarang ni, ramai mangsa-mangsa mencari saya dan menuntut hutang tersebut. Di mana pinjaman duit yang diambil tanpa pengetahuan anak-anak. Soalan saya:
- Adakah hutang tersebut wajib dilunaskan oleh anak-anak? Dan apakah hukum di sisi Islam?
- Jika anak-anak tidak berkemampuan, bagaimana?
Saya ucapkan terima kasih atas penjelasan dari
pihak Ustaz dan Ustazah.
Jawapan
Nabi SAW sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
Maksudnya: Jiwa orang yang beriman itu tergantung disebabkan hutang, sehingga dibayarkan untuknya (hutang tersebut). (Riwayat Ibnu Majah)
Adapun anak yang mampu untuk melangsaikan hutang ibu dan bapanya, maka ia termasuk dari berbakti dan berbuat baik serta ihsan kepada ibu bapanya. Sudah pasti pahalanya cukup besar. Rasulullah SAW pernah mengkiaskan isu berkenaan ibadat yang ditinggalkan oleh ibu sahabat dengan hutang yang wajib dilangsaikan seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA:
Maksudnya: Bahawa seorang lelaki datang kepada Nabi SAW, lalu berkata: Wahai Rasulullah, Sesungguhnya ibuku telah meninggal, dan dia mempunyai puasa (yang belum diganti) selama sebulan, apakah aku perlu tunaikan untuknya? Lalu baginda berkata: “sekiranya ibumu mempunyai hutang, apa kau akan bayar hutang untuknya?” Lelaki itu berkata: “Ya”. Maka berkata Nabi SAW: “Hutang kepada Allah lebih berhak untuk ditunaikan” (Riwayat Muslim)
Kesimpulannya, hutang ibu bapa tidak wajib dibayar oleh waris sekiranya tidak mampu kerana hutang adalah hak individu yang sepatutnya diselesaikan segera. Adapun sekiranya mampu untuk membayar hutang tersebut dan ia adalah satu bentuk bakti dan penghargaan seorang anak kepada ibu bapanya atas segala pengorbanan yang telah dicurahkan.
Sekian, terima kasih