BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wrt.

Saya ingin bertanya tentang hukum melanggan Shopee VIP dengan yuran langganan bulanan RM6.99 bagi tujuan mendapatkan ganjaran seperti diskaun dan penghantaran percuma bagi pembelian di platform tersebut. Adakah langganan tersebut harus atau haram kerana banyak perbahasan tentang perkara ini (di Indonesia terutamanya) mengatakan ada unsur gharar di mana hukum langganan tersebut adalah haram?

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

والسلام عليکم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan tersebut, Shopee VIP dengan yuran bulanan RM6.99 bagi mendapatkan baucer diskaun, penghantaran percuma dan lain-lain keistimewaan tersebut adalah harus kerana pelanggan akan diberikan hak untuk menggunakan keistimewaan-keistimewaan yang dijanjikan sepanjang tempoh langganan.

Allah berfirman dalam surah al-Maidah ayat 1:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, tunaikanlah segala akad (perjanjian).

Ayat ini menunjukkan bahawa akad yang dipersetujui oleh pihak-pihak yang berakad hendaklah dihormati dan dilaksanakan. Dalam konteks langganan Shopee VIP, yuran langganan, tempoh langganan serta manfaat yang ditawarkan telah dinyatakan secara jelas kepada pelanggan. Oleh itu, pelanggan membayar yuran untuk mendapatkan hak menggunakan manfaat-manfaat tersebut sepanjang tempoh langganan.

Ini juga bersesuaian dengan kaedah fiqh yang menyebut:

الأصل في المعاملات الإباحة

Maksudnya: Hukum asal bagi muamalat adalah harus.

Kesimpulannya, langganan Shopee VIP dengan yuran bulanan RM6.99 adalah harus kerana ia merupakan bayaran untuk mendapatkan manfaat dan keistimewaan yang telah dinyatakan sepanjang tempoh langganan. Keharusan ini tertakluk kepada syarat bahawa manfaat, yuran dan tempoh langganan adalah jelas serta tidak mengandungi unsur yang bercanggah dengan syarak seperti riba, gharar atau penipuan. Pelanggan juga hendaklah memastikan langganan tersebut tidak menyebabkan pembaziran atau pembelian yang tidak diperlukan.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 144

message user image