BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Soal Jawab Hukum Tentang Perkahwinan & Perceraian
 

Assalamualaikum. Saya Shakirah dari Melaka. Saya mempunyai isu perkahwinan. Di mana saya telah berkahwin dengan calon pilihan keluarga. Sebelum pertunangan berlaku, saya pernah menyatakan keputusan saya yang tidak mahu menerima calon itu kerana tidak suka akannya, di mana hati saya merasai penolakan yang kuat terhadap dirinya selepas melihat gambar. Tetapi semasa menyatakan hasrat saya untuk menolak meneruskan pertunangan, saya tidak dapat memaklumkan alasan sebenar saya. Kerana ibu ayah saya memilihnya disebabkan solatnya, jadi saya takut berdosa untuk memaklumkan kepada mereka alasan saya dan risau mereka tidak dapat menerima alasan saya. Jadi saya telah memaksa diri saya untuk menerima pertunangan dan perkahwinan dalam keadaan hati dan perasaan masih tidak suka akan calon itu. Saya berharap dengan kerana solatnya, redha dan restu ibu bapa saya dapat membuatkan hati saya dapat menerimanya, menyukai dan menyayanginya sebagai suami. Tetapi sepanjang pertunangan sehingga la ke hari ini perasaan tidak suka itu masih ada dan semakin kuat. Semasa tempoh pertunangan, saya tidak pernah dapat memandangnya dengan perasaan suka, yang ada hanyalah tidak suka atau menyampah. Pada hari pernikahan, perasaan saya masih sama, tidak suka akan suami saya. Tetapi saya cuba melawan. Saya cuba menjalankan tugas sebagai isteri, tetapi semuanya tanpa memandangnya atau melihatnya. Semakin hari semakin saya memaksa diri saya dan perkara ini memberi tekanan kepada diri saya. Tetapi saya cuba ikhtiar cara lain. Saya cuba melihat peribadinya yang boleh saya sukainya. Namun masih menemui jalan buntu. Dia menjaga solat, memberi nafkah wang, tetapi perkara dan peribadi dirinya yang lain membuatkan saya semakin tidak suka akannya. Perkara seperti rumah, pada awal perkahwinan, saya ulang alik rumah maknya dan mak saya. Di mana, 2 hari suami bekerja, saya tidur di rumah mak saya, 2 hari suami bercuti saya pulang tidur ke rumah maknya. Sebelum kahwin saya telah menyiapkan mental saya untuk terima sekiranya perlu tinggal dahulu bersama keluarganya. Tetapi apabila perasaan tidak suka dan menyampah kepada suami itu semakin kuat, saya menyuarakan tentang rumah kepada suami. Dia tiada perancangan untuk duduk sendiri. Katanya, maknya suruh duduk sahaja dengan mereka sehingga dia stabil. Bila ditanya ada perancangan ke tentang kestabilan, dia jawab tiada. Saya memaklumkan bahawa lebih elok duduk berasingan kerana ada lebih privacy dan boleh bergerak bebas. Kerana duduk di rumah maknya sama, kami hanya akan terperap di dalam bilik disebabkan ruang yang terhad di rumah maknya. Tetapi dia tidak menerima luahan saya dan memberikan alasan seperti tidak stabil, maknya suruh duduk dulu sehingga stabil, tidak mahu berhutang dalam menyewa atau membeli rumah, tiada simpanan wang dan sebagainya. Memandangkan dia memberikan banyak alasan, penolakan diri saya semakin kuat. Tetapi saya cuba lagi mencari jalan lain untuk menerimanya. Saya cuba melihat peribadinya, dari segi pemikiran, pengurusan emosi, penjagaan diri dan sebagainya. Tetapi semuanya masih menemui jalan buntu. Disebabkan dia sudah biasa mengamalkan cara hidupnya, apabila saya menasihatinya, dia menolak dengan memberi banyak alasan. Ini membuatkan saya semakin tidak suka akannya. Dia tidak boleh menerima nasihat daripada saya, tetapi dia mahu saya sentiasa menjalankan tanggungjawab seorang isteri kepadanya. Dia tidak mahu cuba memahami perasaan saya tetapi dia mahu apa yang patut dia dapat sebagai suami dipenuhi. Seperti sentuhan. Memandangkan kami kahwin tanpa mengenali diri masing-masing, ditambah pula dengan saya yang tidak suka akannya, ia mengambil masa dan kesediaan emosi yang lama daripada saya. Pada awal perkahwinan, saya menerima sentuhannya dan tidak menolak. Tetapi lama kelamaan selepas melihat peribadinya, saya meminta dia beri saya ruang untuk mengenali diri masing-masing dengan mengurangkan sentuhan. Dia katakan dia faham. Tetapi dalam jam dan hari yang sama, dia mula menunjukkan protes. Dia mula tidak bercakap, bermasam muka, menghentak kaki, menyeret bag kerja, memandu kereta dengan berbahaya, dan macam-macam lagi. Disebabkan tingkah laku itu, perasaan berdosa dan bersalah datang dalam diri saya. Dengan perasaan itu, saya telah mengambil ikthtiar yang paling berat buat saya, iaitu dengan menjalankan tanggungjawab wajib saya sebagai isteri, dengan mengajaknya untuk bersama. Saya mengajaknya dengan harapan ibadah halal itu dapat hadirkan rasa kasih dan sayang kepada suami. Tetapi keadaan makin sama, malah semakin teruk. Saya sedar bahawa diri saya sememangnya tidak dapat menerima suami. Saya sedar saya memang tidak suka akannya, tidak akan pernah dapat suka dan sayang akan suami sendiri. Perasaan itu semua membuatkan saya tidak lagi dapat menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri, tanpa memberi sebarang tekanan dalam hidup saya. Jadi saya dengan niat tidak mahu membuat dosa harian dan tidak mahu zalimi hak suami, saya meminta dia untuk melepaskan saya dengan cara yang baik. Tetapi dia tidak bersetuju, begitu juga ibu bapa kami berdua. Mereka berpendapat saya masih perlu memaksa diri untuk meneruskan perkahwinan dan menjalankan tanggungjawab walaupun saya tahu saya tidak mampu lagi memaksa diri saya tanpa memberi tekanan kepada diri saya. Kerana saya memang sudah tidak dapat terimanya kerana saya tidak suka dan tidak dapat hadirkan rasa suka dan sayang kepadanya. 
 

Justeru itu, melalui link yang saya sertakan, saya ingin memohon jasa Jabatan Mufti Negeri Selangor untuk menyemak intipati di link tersebut. Link tersebut mengandungi persoalan yang saya cuba cari jawapan melalui Google Gemini. Ianya berkaitan hukum meneruskan perkahwinan yang berkait rapat dengan situasi saya. Jawapan dan penjelasan daripada pihak Mufti amatlah saya perlukan. 

https://share.google/aimode/URw4p5t6gtF30sPZM

Terima kasih atas pertimbangan. Assalamualaikum.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Berdasarkan kepada situasi yang dinyatakan, perlulah difahami bahawa perkahwinan di dalam Islam perlulah dibina atas dasar sakinah (tenang), mawaddah (cinta) wa rahmah (kasih sayang). Namun, secara realitinya kehidupan berumah tangga tidak seindah yang diidamkan. Islam menyediakan panduan apabila berhadapan dengan situasi atau konflik dalam perkahwinan seperti perselisihan yang sukar untuk diselesaikan dan ketidakserasian. Maka, syarak membenarkan fasakh dan khulu’.

Walau bagaimanapun, Islam menggalakkan pasangan suami dan isteri untuk mengekalkan perkahwinan meskipun berhadapan dengan ujian. Namun, sekiranya kebencian terhadap pasangan sudah tidak dapat dibendung dan sudah tidak wujud lagi perasaan kasih dan sayang terhadap pasangan serta khuatir sekiranya tidak mampu menjalankan tanggungjawab dan boleh membawa kepada kemudharatan yang besar seperti kesihatan mental yang merudum, maka bubarkan perkahwinan adalah wajar. Firman Allah SWT:

فَإِنۡ خِفۡتُمۡ أَلَّا یُقِیمَا حُدُودَ ٱللَّهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَیۡهِمَا فِیمَا ٱفۡتَدَتۡ بِهِۦۗ 

Maksudnya: Oleh itu, jika kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). 

Oleh yang demikian, puan digalakkan untuk mendapatkan nasihat dan bantuan daripada Mahkamah Syariah atau kauselor agama untuk proses selanjutnya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 24

message user image