Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assakamualaikum, saya ada persoalan berkaitan Wang Tabung Khairat Kematian.
Bolehkah ianya digunakan untuk membayar elaun untuk AJK Tabung Khairat yang dilantik secara tahunan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, isu penggunaan Wang Tabung Khairat Kematian untuk membayar elaun AJK perlu dilihat dari sudut syarak dan amalan rasmi pengurusan tabung di masjid atau surau.
Tabung Khairat Kematian ditubuhkan khusus untuk membantu ahli kariah yang meninggal dunia. Urusan pengurusan jenazah meliputi urusan van jenazah, memandikan, mengkafan, liang lahad dan lain-lain urusan berkaitan. Wang tabung ini adalah amanah daripada ahli yang menyumbang. Ia mesti digunakan untuk tujuan asal sahaja.
AJK yang dilantik untuk menguruskan tabung tersebut hendaklah melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan jujur dan bertanggungjawab. Pelantikan sebagai AJK tidak memberikan hak untuk mengambil imbuhan daripada wang tabung secara automatik. Sekiranya elaun diambil daripada wang tabung tanpa kebenaran atau persetujuan para peserta, perbuatan tersebut termasuk dalam penggunaan harta amanah tanpa hak.
Oleh itu, wang Tabung Khairat Kematian tidak boleh digunakan untuk membayar elaun AJK sekiranya tiada peruntukan atau persetujuan daripada para peserta, kerana wang tersebut terikat dengan tujuan asal penubuhannya, iaitu bagi membantu dan menguruskan keperluan berkaitan kematian ahli.
Namun, bayaran elaun kepada AJK boleh dibenarkan jika ia jelas dinyatakan dalam perlembagaan, undang-undang tubuh atau tatacara pengurusan tabung, dimaklumi dan dipersetujui oleh ahli, serta amaun yang diambil adalah munasabah dan tidak menjejaskan tujuan utama tabung.
Sekian, terima kasih.