Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
assalammualikum whb.
Di sini saya ingin mengajukan persoalan tentang hubungan saya,kakak-kakak saya,bapa saya dah juga ibu tiri saya.
selepas ibu kandung saya meninggal pada tahun 2005 ayah saya mendirikan rumah tangga yang baru padan tahun 2012.setelah beberapa tahun berkahwin ayah saya tidak bekerja lagi dan hanya isteri baru yang bekerja..bersama dengan ibu tiri ini bapa saya dikurniakan dua org anak lelaki yang sekarang sudah berumur 12 tahun dan 6 tahun.sekarang jadi total adik beradik saya sekarang 6 org 4 perempuan dan 2 lelaki.4 perempuan dari arwah ibu kandung,dua lelaki dari ibu tiri.saya anak perempuan yang keempat dan saya bekerja masih bujang.lagi 3 orang perempuan sudah mendirikan rumah tangga.dua adik lelaki masih bersekolah.
soalan pertama,
Ayah saya tiada pendapatan. Siapa yang perlu bertanggungjawab untuk menyara dua orang adik lelaki saya yang berlainan ibu?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, tanggungjawab utama menyara adik-adik puan di sisi hukum Syarak dan undang-undang keluarga Islam di Malaysia adalah terletak secara mutlak pada bapa kandung mereka (bapa puan). Bapa yang tidak bekerja tidak menjadikan seseorang bapa itu tergugur tanggungjawabnya dalam menafkahi dan menyara anaknya secara automatik melainkan bapa itu uzur atau disahkan hilang upaya untuk bekerja. Sekiranya bapa betul-betul tidak mampu, maka ibu tiri puan (ibu kandung adik-adik lelaki puan) yang bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri itu, secara realiti dan secara ikhlas serta ihsan, beliau yang menampung keperluan anak-anaknya. Walau bagaimanapun, tanggungjawab menafkahi anak termasuklah dalam urusan tempat tinggal, memberi makan dan menyediakan pakaian anak masih terletak di atas bahu bapa kandungnya sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 233:
Maksudnya: Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu (yang menyusukan anak) itu dengan cara yang makruf.
Adapun Allah berfirman dalam surah at-Talaq ayat 7, yang menyatakan bahawa kewajipan dalam memberi nafkah adalah mengikut kadar kemampuan kewangan seseorang dan bukannya bebanan di luar keupayaannya, sebagaimana berikut:
Maksudnya: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan orang yang disempitkan rezekinya, hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak meletakkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang diberikan-Nya kepada orang itu.
Namun sekiranya bapa puan dan ibu tiri puan tidak berkemampuan lagi untuk menyara anak-anaknya, maka boleh mohon bantuan pada Zakat atau Baitulmal di negeri yang didiami.
Sekian, terima kasih.