Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum mufti, saya ingin bertanya tentang bab munakahat
1. Apakah yang dimaksudkan dengan mahar mithil?
2. Apakah yang dimaksudkan dalam konteks ayat ini. Ayat ini dibawah tajuk Khulu' : Mahar mithil adalah mahar sebanding dengan mahar bagi kakak atau adik di dalam keluarga isteri
3. Di bawah tajuk Khulu' iaitu soalannya: tidak sah Khulu' isteri yang safih/mahjur 'alaihi dan jika isteri tersebut telah memberi balasan khulu' maka khulu' akan terbatal dan jatuh kepada isteri yang safih/mahjur 'alaihi itu talaq raj'i. Apakah yang dimaksudkan dalam ayat tersebut
4. Di bawah tajuk Khulu' juga: Khulu' dari seorang suami yang bankrap adalah sah dan balasan khulu' diharuskan dibayar kepada suami tersebut kerana pada asalnya suami tersebut menepati syarat dan mampu bertindak ke atas hartanya. Apakah yang dimaksudkan dalam ayat tersebut
Jawapan
Mahar mithil (مهر مثل) jumlah mahar yang wajib diberikan kepada seorang wanita apabila mahar yang ditetapkan dalam akad nikah tidak sah atau tidak disebutkan, atau terdapat perselisihan mengenai jumlah mahar yang dinamakan. Penentuan mahar mithil diambil kira daripada wanita-wanita daripada kalangan kerabat lelaki dari pihak bapa yang paling dekat dengan wanita tersebut. Jika tiada, maka kerabat dari pihak ibu seperti ibu, nenek, dan ibu saudara akan dipertimbangkan. Jika tiada kerabat, maka wanita-wanita di kawasan tempat tinggalnya yang mempunyai persamaan dengannya akan dijadikan rujukan
Mahar mithil menjadi wajib dalam beberapa keadaan iaitu:
Khulu' (tebus talak) pula adalah perceraian yang berlaku atas permintaan isteri dengan persetujuan suami, di mana isteri mengembalikan mas kahwin atau memberikan ganti rugi lain kepada suami sebagai balasan untuk mendapatkan talak.
Bagi menjawab soalan yang diajukan:
1. Mahar mithil seperti yang dijelaskan adalah mahar isteri mengikut nilai mahar kerabat wanita pada pihak-pihak yang dinyatakan atas sebab mahar yang ditetapkan dalam akad nikah tidak sah atau tidak disebutkan, atau terdapat perselisihan mengenai jumlah mahar yang dinamakan.
2. Mahar mithil tersebut adalah sama nilai dengan mahar yang pernah diterima kakak atau adik di dalam keluarga isteri.
3. Perlu difahami bahawa hukum khulu' adalah berkaitan seorang isteri meminta diceraikan dengan cara memulangkan semula mahar yang pernah diterima atau bayaran lain yang dipersetujui. Berdasarkan kepada kenyataan yang diberikan khulu' isteri yang mahjur alaih tersebut tidak sah, oleh yang demikian jatuh talak raj'ie. Apa-apa pun masalah ini mesti dirujuk pada mahkamah syariah untuk penjelasan lanjut.
4. Berdasarkan kenyataan yang diberikan, yang dimaksudkan adalah keadaan kewangan suami tidak mempengaruhi keabsahan khulu', kerana khulu' seperti yang telah dinyatakan adalah merupakan bayaran dari pihak isteri untuk menebus talak, tiada kena mengena dengan keadaan kewangan suami.
Sekian, terima kasih.