BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Bismillah Assalamualaikum. 

 

Pertama sekali, terima kasih kerana memberikan ruang untuk saya bertanya soalan. Saya sangat keliru, tidak tahu apa yang patut dibuat. Oleh itu saya memilih untuk bertanyakan soalan isu ini. 

 

Saya anak perempuan sulung dalam keluarga. Dibesarkan oleh kedua Ibu bapa saya. Sejak kecil, saya dah terbiasa dengan sikap atau perangai ayah saya yang sangat lancang bila berbicara, memaki hamun. Mulanya saya anggap perkara biasa sehingga saya dapat tahu punca Ibu ayah saya bergaduh kerana ayah saya melihat gambar yang tidak senonoh, keluar berdua duan dengan wanita lain atau isteri orang. Isu ini berlaku sejak mereka berdua belum berkahwin sehingga saya besar menjadi anak remaja berumur 19 tahun. Perceraian pertama mereka disebabkan ayah saya telah melakukan perbuatan terkutuk dengan isteri orang lain. Sehingga kan dia berani menjunjung Al Quran untuk mengaku tidak bersalah walhal bukti sudah ada. Isu ini berlaku lagi Dan lagi sehingga pada akhir tahun lepas, disember 2025 ayah saya diberhentikan kerja (laid off). Oleh kerana ayah saya sudah tak bekerja, jadi dia selalu berada di rumah Dan sukar untuk keluar dengan wanita lain kerana bimbang perbuatan terkutuk itu terkantoi. Untuk pengetahuan, Ibu saya sudah bercerai sebanyak 2 kali Dan telah rujuk kembali atas sebab Ibu tidak bekerja Dan adik adik masih bersekolah. Atas Ihsan Dan simpati, Ibu saya masih berikan peluang namun ayah saya masih lagi dengan masalah yang sama iaitu ketagihan pornographi. Terdapat berjuta video Dan gambar lucah yang dibeli, diambil dan diterima. Saya Dan Ibu tak tahu nak buat apa untuk suruh dia berhenti dari ketagihan itu. Berulang kali nasihat, malah berdoa, meminta bantuan dari ustaz serta pihak makhamah namun masih sama. Saya saban hari akan nampak ayah saya melanggan gambar Dan gambar lucah di telepon. Isu ini berlanjutan sehinggakan adik lelaki saya yang dahulunya rajin menunaikan solat telah berubah kepada meninggalkan solat fardhu dengan sengaja. 

 

Saya jadi takut sebab saya anak perempuan Dan saya ada adik perempuan. Kata orang, kifarah akan jatuh bila ayah buat kejahatan tersebut. Saya belum berkahwin dan saya fobia kerana bimbang mendapat suami yang sama seperti ayah saya. Hanya kerana ayah saya yang berikan nafkah untuk kami hidup, kami terpaksa tutup mata. Nasihat secara lisan, secara berseloroh dah diberikan namun makian Dan cacian yang kami terima sehingga kan ayah saya mengungkit segala rezeki yang dia berikan. 

 

Soalan saya, saya Dan Ibu dah berdoa sentiasa untuk mohon kepada Allah supaya dibukakan pintu hati ayah untuk bertaubat Dan berhenti. Malah pelbagai kaedah dah digunakan namun seolah tidak ada apa apa kesan. Kadang kala disebabkan rasa marah, saya memohon supaya Allah bagi ayah saya jatuh sakit atau apa apa balasan. Namun saya sedar doa itu salah. Tapi apa patut saya buat supaya ayah saya berubah? Keluarga sebelah ayah pun tahu, bahkan ramai tahu namun semuanya sama saja. Ada yang tidak kisah, ada yang sudah nasihat tapi dimaki balik. 

 

Saya perasan rezeki makin sempit. Banyak pergaduhan kerap berlaku dan rasa tak bahagia. Saya jadi benci dengan sikap ayah saya. Dia tak segan untuk tutup dosa yang dia buat malah bangga kerana dia kata, tuhan tak pernah bagi dia jatuh sakit Dan dia ada duit yang sangat banyak. 

 

Adakah saya patut biarkan saja? Apa cara lain yang saya boleh buat? Saya dah tak mampu nak tutup mata dengan apa yang ayah buat sebab dia bukan sahaja bermaksiat dengan isteri orang tapi membawa isteri orang pulang ke rumah kami Dan melakukan perkara terkutuk itu di dalam bilik Ibu ayah saya ketika kami tiada di rumah. Takkan saya nak biar maksiat wujud di rumah yang kami solat dan baca Al Quran? Saya dah google dan semua cara tak berkesan. Saya tak selesa sebab saya takut sangat dengan dosa ini. Boleh ke bantu saya? Saya sangat buntu. 

 

Terima kasih kerana membaca. Semoga Allah bantu saya dan Ibu. 


message user image

Jawapan  

والسلام عليکم ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد

 

Merujuk kepada persoalan puan tersebut Allah SWT berfirman dalam Surah al-Qasas ayat 56:

إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ

Maksudnya: Sesungguhnya engkau tidak akan dapat memberi hidayah kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allah memberi hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki

Ayat ini menerangkan bahawa hidayah adalah milik mutlak Allah Ta’ala dan Dia-lah memberikan hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Walaubagaimanapun, apa yang telah dilakukan oleh puan dan ibu dalam mendoakan hidayah untuk ayah puan adalah perbuatan yang sangat terpuji dan dianjurkan oleh agama.

Rasulullah SAW bersabda daripada Abu Sa’id al-Khudri RA:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya: Barangsiapa yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya sendiri, sekiranya tidak mampu maka dengan lisannya, sekiranya tidak mampu juga dengan hatinya, itu adalah selemah-lemah iman.

Berdasarkan hadis ini, mencegah kemungkaran boleh dilakukan dengan tindakan, lisan atau hati. Antara inisiatif yang boleh dilakukan termasuk melaporkan perbuatan mungkar ayah kepada pihak yang berkuasa. Sekiranya tidak mampu, puan boleh memberikan nasihat dengan berhikmah dan sopan-santun yang mana telah diambil sendiri oleh puan sebelum ini. Adapun langkah terakhir adalah dengan membenci perbuatan yang dikerjakan oleh ayah.

Seterusnya, memberi peluang kepada suami untuk bertaubat adalah sesuatu yang baik. Tetapi memaafkan tidak bermaksud seseorang perlu membiarkan dirinya terus dizalimi. Jika selepas dua kali perceraian dan rujuk, perbuatan tersebut masih berterusan, maka ibu puan boleh mendapatkan nasihat pihak berautoriti mengenai hak-haknya sebagai isteri, termasuk aspek keselamatan, nafkah, tempat tinggal dan pilihan untuk mendapatkan penyelesaian perkahwinan sekiranya keadaan sudah tidak dapat dipertahankan kerana kezaliman dalam rumah tangga adalah perkara yang serius.

Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor menyebutkan:

Seseorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan, berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan yang berikut:

bahawa suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya iaitu, antara lain—

- lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya;

- berkawan dengan perempuan-perempuan atau lelaki jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak.

Untuk khidmat nasihat yang lebih lanjut, puan boleh berhubung terus dengan Bahagian Hal Ehwal Keluarga Islam di Pejabat Agama Islam Daerah atau Mahkamah Syariah yang berhampiran.

Akhir sekali, dosa ayah ialah dosa ayah, bukan dosa puan. Allah berfirman dalam Surah al-Isra’ ayat 15:

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ

Maksudnya: Dan seseorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain

Tidak ada dalam ajaran Islam bahawa anak perempuan akan mendapat suami yang buruk sebagai kifarah dosa bapanya. Allah ’Azza wa Jall tidak menghukum seorang anak perempuan kerana dosa yang dilakukan bapanya. Bahkan, seseorang tidak dipertanggungjawabkan atas dosa orang lain.

Jangan biarkan ketakutan terhadap masa depan menghancurkan kehidupan puan hari ini. Apabila sampai masa puan hendak berkahwin, puan boleh memilih pasangan berdasarkan agama dan akhlaknya.

 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 40

message user image