Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya bekerja sebagai staf Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selama 20 tahun dan telah berkahwin dengan suami sekarang selama 10 tahun. Suami saya tahu pekerjaan saya sebelum berkahwin dan selalu mengutuk dan bersangka buruk dgn kerja saya sebab kerjaya saya ni memerlukan saya berkomunikasi dgn lelaki (staf/pesakit/family pesakit). Dan juga memeriksa dan menyentuh pesakit lelaki.
Saya tinggal di rumah yang saya beli sendiri sebelum kahwin dengan dia di Seremban. Selepas berkahwin, saya beli rumah di KL dan dia tinggal di rumah tersebut. Setiap hari jumaat/sabtu saya ulang alik ke KL dan balik ke Seremban pada hari ahad.
Saya berharap suami saya boleh beri nafkah tempat tinggal dan keperluan lain dgn cukup tetapi selama kami berkahwin dia tak pernah beri nafkah tempat tinggal. Nafkah makan minum saya, bil api air, pakaian, keperluan rumah pun dia mula bayar mulai tahun 2024 selepas kami bergaduh besar dan lebih 2 bulan dia silent treatment. Sebelum tahun 2024 makan minum saya dan dia pun saya yang bayar.
Isu:
1. Dia terlalu mengongkong saya semasa saya bekerja. Sibuk nak video call semasa saya bekerja untuk tahu saya berkomunikasi dengan siapa, duduk makan dan bermesyuarat sebelah siapa, apa yang saya cakap, nak tahu isi kandungan meeting jabatan sebab semasa meeting boleh dengar gaya suara saya bercakap. Walaupun dalam video call tu saya tengah makan dengan perempuan, berada berdua dalam bilik dengan perempuan, dia tetap nak monitor sy buat kerja sampai saya segan nak bergaul/makan dengan kawan2 perempuan walaupun di situ tiada lelaki.
Orang pompuan ni time lepak makan sesama pompuan dlm ruang tertutup nak gak singsing lengan, borak tawa yg mana tu semua tak sesuai dilihat dan didengar oleh lelaki (suami saya). Itu pun suami saya nak monitor.
2.Dia cakap HARAM SAYA KELUAR BEKERJA TANPA IZIN SUAMI. Ada masa sy kena bertugas atau hadir meeting/kursus di luar klinik saya atas arahan ketua jabatan. Tapi bukanlah di luar dari NEGERI SEMBILAN. Itu pun jadi pertikaian. Betulke haram saya keluar bekerja tanpa izin suami sedangakn suami tak bagi saya nafkah tempat tinggal dan sebelum dia bagi nafkah makan minum saya, dia minta saya buat loan bank dan bagi duit tu kat dia. Kalau saya tak kerja, macam mana nak bayar hutang2 bank dan hutang rumah yg dia tinggal sekarang? Dan haramkah duit gaji saya tu?
3. Dia setiap hari tanya dengan lelaki mana saya bercakap dan bergaul. Saya kena cerita satu persatu saya bercakap dengan doktor lelaki tu pasal hal kerja, cakap dengan staf tu pasal hal kerja/kursus/ data/ program kerja. Semua nak kena terang satu persatu setiap hari sampai saya penat. Sedangkan saya tak bercakap pasal hal peribadi/hal tak berkaitan kerja dengan lelaki lain.
Berdosakah saya bila rasa penat dengan sikap suami saya ni.
4. Bulan 8 ni tarikh bicara di mahkamah syariah untuk tuntutan fasakh. Dia marah tak redha saya pergi mahkamah, dan berhubung dengan lawyer lelaki. Sebelum ni dah 2 kali saya fail cerai seksyen 47 tetapi dia pegang tangan saya untuk halang saya ke mahkamah pada tarikh bicara hingga kes saya ditutup oleh pihak mahkamah. Saya dah terlalu stress sampai bergaduh tinggikan suara kat suami. Saya tahu berdosa sebab tu saya nak keluar dari perkahwinan ni. Sampai saya rasa nak baling dia dengan power bank bagi dia sakit sebab terlalu stress. Dan bila stress sangat sangat, saya block wasap dia beberapa hari sampai saya dapat kawal emosi saya. Lepas tu saya unblock lah. Lepas unblock dapat tazkirah untuk ahli neraka daripada suami saya.
5. Berdosakah saya bila saya dah tak nak ulang alik ke KL untuk berjumpa suami? Saya dah tak nak korbankan masa dan duit saya untuk ulang alik ke KL, Lepas tu layan dia seperti raja di rumah tu.
Terima kasih ustaz/ustazah kerana sudi menjawab persoalan saya
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan tersebut, Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nisa’ ayat 34:
Maksudnya: Kaum lelaki itu adalah pemimpin terhadap kaum perempuan kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain, dan kerana mereka telah membelanjakan sebahagian daripada harta mereka.
Ayat ini menunjukkan bahawa antara asas qiwamah (kepimpinan) suami terhadap isteri ialah tanggungjawab kewangan dan nafkah yang dipikul oleh suami.
Rasulullah SAW bersabda, daripada Jabir bin ‘Abdillah RA:
Maksudnya: Dan bagi mereka (para isteri) atas kalian kewajipan memberi rezeki dan pakaian kepada mereka dengan cara yang baik
(Riwayat Muslim)
Hadis ini turut menekankan berkenaan kewajipan seorang suami dalam menyediakan nafkah buat isterinya.
Mazhab Syafi’i telah menyenaraikan secara terperinci nafkah yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya. al-Khatib al-Syarbini menulis dalam Mughni al-Muhtaj:
Maksudnya: Hak-hak yang wajib disebabkan oleh perkahwinan itu ada tujuh: makanan, lauk-pauk, pakaian, alat-alat kebersihan, peralatan rumah, tempat tinggal, dan khadam sekiranya isteri termasuk daripada kalangan yang memerlukan khadam
Berdasarkan petikan teks yang dinukilkan di atas, tempat tinggal disebut secara jelas sebagai salah satu hak isteri yang wajib ditunaikan oleh suami berdasarkan akad perkahwinan. Justeru, kewajipan menyediakan tempat tinggal tidak gugur semata-mata kerana isteri mempunyai pekerjaan dan pendapatan sendiri sepertimana yang berlaku dalam kes puan.
Seterusnya, kegagalan suami menjalankan kewajipannya mengakibatkan puan terpaksa keluar rumah mencari nafkah. Hukumnya adalah harus sebagaimana dicatatkan oleh al-Khatib dalam rujukan di atas:
Maksudnya: Dan bagi isteri itu hak untuk keluar pada tempoh al-muhlah (penangguhan tuntutan fasakh) yakni pada siang hari bagi mendapatkan nafkah, dan dia hendaklah pulang pada waktu malam.
Adapun tindakan puan memohon fasakh di mahkamah, ianya adalah wajar kerana kemudaratan yang diterima akibat daripada keculasan suami dalam menyediakan nafkah. Al-Haithami menyebut dalam Tuhfah al-Muhtaj:
Maksudnya: Sesungguhnya fasakh dilakukan kerana ketidakmampuan suami menyediakan nafkah pada kadar nafkah orang yang berada dalam kesusahan, kerana kemudaratan hanya berlaku dalam keadaan tersebut
Jadi, isu nafkah bukan sekadar isu kewangan tetapi berkait dengan kemudaratan yang ditanggung oleh isteri akibat tidak mendapat nafkah.
Oleh kerana kes puan sedang melalui proses pendengaran kes di mahkamah untuk fasakh, adalah lebih baik puan berhubung terus dari masa ke masa dengan pihak berkenaan terutama peguam syarie yang dilantik untuk khidmat nasihat dan tindakan lanjut yang perlu diambil.
Sekian, terima kasih