Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Sekiranya suami menyatakan "'body' awak dah tua nanti mesti macam 'body' mak awak sekarang'". Motif untuk menyamakan anggota ialah 'body' mak masih cantik berbanding usia. 'Body' ada anggota badan lain seperti punggung, perut, pinggang dan sebagainya. Adakah ia zihar?
Mohon pencerahan terima kasih.
Jawapan
Secara umumnya, zihar ialah perkataan seorang suami yang menyamakan isterinya dengan mana-mana perempuan yang diharamkan berkahwin dengannya atau menyamakan mana-mana anggota isteri. Perempuan yang diharamkan berkahwin tersebut hendaklah yang diharamkan berkahwin buat selama-lamanya seperti ibu dan anak perempuan beserta dengan niat zihar atau membawa makna zihar iaitu ingin mengharamkan hubungan suami isteri. Oleh itu, sekiranya terdapat anggota badan yang disamakan oleh suami tetapi tidak disertai dengan niat zihar, maka tidak jatuh hukum zihar ke atasnya. Dalam isu ini, perbuatan zihar hendaklah dilihat dari segi niat dan cara perkataan itu dilafazkan. Mazhab Syafie menjelaskan bahawa sekiranya seorang suami berkata sesuatu yang mirip dengan zihar, tetapi niatnya mulia seperti atas dasar kecantikan atau menyifatkan isterinya seperti ibunya pada saiz, bentuk atau sifat-sifat lain, maka ia tidak dikira sebagai zihar.
Sekian, terima kasih.