Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Tajuk Soalan: Status Kesucian Selepas Setahun Kerana Lupa Kaedah Basuhan Sertu Yang Pernah Dilakukan
Soalan:
Assalamualaikum Tuan Mufti,
Saya ingin bertanyakan satu kemusykilan berkenaan situasi yang berlaku kira-kira setahun yang lalu, yang kini menimbulkan keraguan pada status kesucian saya.
Kejadian:
Setahun lebih lalu, semasa saya berada di dalam tandas luar, seekor anjing telah cuba masuk. Saya segera menutup pintu menyebabkan sebahagian muka/moncong anjing itu tersekat di celah pintu sebelum ia melarikan diri. Selepas itu, saya telah tersentuh bahagian tepi pintu tempat muka anjing itu tersekat tadi. Permukaannya tidak basah dengan air liur yang jelas, tetapi terasa sejuk dan lembap.
Selepas tersentuh bahagian pintu itu, Kemungkinan saya ada terpegang bahagian anggota badan saya yang lain pula sebelum saya keluar dari tandas.
Selepas kejadian, saya ada melakukan sertu di bilik air didalam rumah menggunakan air tanah di dalam baldi. Walau bagaimanapun, sekarang saya langsung lupa bagaimana cara saya mandi sertu pada waktu itu. Saya tidak ingat langsung sama ada saya melakukan kaedah yang betul (iaitu 1 basuhan air tanah dan 6 basuhan air mutlak) atau tidak, dan saya juga lupa sama ada saya menyertu tangan sahaja atau satu badan.
Sepanjang tempoh setahun lebih ini, saya telah menjalani kehidupan seperti biasa dan menyentuh pelbagai barang, pakaian, serta seluruh anggota badan saya.
Soalan Mohon Pencerahan:
1. Apabila saya langsung lupa cara basuhan sertu yang dilakukan dahulu (tidak ingat sama ada mengikut rukun 1 air tanah & 6 air mutlak), adakah status saya sekarang dikira belum suci dan wajib melakukan sertu semula?
2. Jika wajib sertu semula pada waktu sekarang, adakah saya perlu sertu satu badan atau memadai pada bahagian tertentu sahaja?
3. Apakah status hukum bagi segala pakaian, barang, dan anggota badan lain yang telah saya sentuh sepanjang tempoh setahun lebih ini?
Mohon bimbingan daripada pihak Mufti untuk menyelesaikan kekeliruan ini. Terima kasih.
Jawapan
Secara umumnya, najis anjing termasuk dalam kategori najis mughallazah (najis berat). Oleh itu, sesiapa yang tersentuh anjing atau sesuatu yang yang terkena najis anjing diwajibkan baginya untuk melakukan sertu atau samak bagi memastikan diri suci.
Berdasarkan soalan yang diajukan, puan benar-benar telah meyakini telah bersentuhan dengan najis anjing, oleh yang demikian:
1. Sekiranya puan tidak pasti sama ada sertu yang pernah dilakukan dahulu memenuhi syarat (enam basuhan air mutlak dan satu basuhan air tanah), maka status kesucian puan adalah diragui. Oleh yang demikian,puan wajib untuk sertu semula bagi memastikan berada dalam keadaan benar-benar suci.
2. Mengenai anggota yang perlu disertu, puan hanya perlu menyertu anggota yang diyakini benar-benar telah tersentuh najis anjing. Dalam kes yang dinyatakan, tuan/ puan telah tersentuh bahagian tepi pintu yang lembap dan sejuk, kemudian menyentuh angota lain dengan tangan yang terkena najis tersebut, maka hanya anggota tersebut sahaja diwajibkan untuk disertu melainkan sekiranya diyakini seluruh anggota badan telah terkena najis.
3. Mengenai status pakaian, barang atau anggota badan lain yang telah terkena najis dari tangan yang belum disucikan dengan sempurna, maka ia berbalik kepada hukum asalnya iaitu suci. Selagi mana tiada bukti atau keyakinan bahawa barang tersbut terkena najis, maka ia kekal suci.