Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya mengalami daimul hadas dalam bentuk keputihan dan menjalankan ibadah solat mengikut cara daimul hadas, tetapi sekali sekala selepas solat saya rasa yakin tiada keluar keputihan dan melaksanakan solat qada dan memang tiada keluar keputihan selepas selesai solat tersebut. Adakah dibenarkan kerana ketika mengambil wuduk saya berniat untuk mengharuskan solat? Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, bagi daimul hadath iaitu orang yang sentiasa berhadas boleh memilih melakukan salah satu daripada berikut:
i. Solat fardhu pada setiap waktu (menurut mazhab Syafi'i).
a) Sucikan diri daripada najis dan gunakan lampin atau seumpamanya pada tempat keluar najis.
b) Setelah itu sucikan diri daripada hadas. Kedua-duanya mesti dilakukan setelah masuk waktu solat.
c) Segera tunaikan solat. Solat adalah sah dan tidak perlu diulang walau pun najis tetap keluar ketika sedang berwuduk dan solat.
d) Satu wuduk hanya boleh digunakan untuk satu solat fardu sahaja dan seberapa banyak ibadah sunat yang lain.
ii. Melakukan jamak (himpun) bagi solat-solat yang boleh dijamakkan (menurut Mazhab Hanbali dan pandangan pilihan sebahagian ‘ulama Mazhab Syafi’i).
a) Sucikan diri daripada najis dan hadas setelah masuk waktu solat dan kemudian solat. Solat adalah sah dan tidak perlu diulang.
b) Satu wuduk boleh digunakan untuk lebih daripada satu solat fardu dan seberapa banyak ibadah sunat yang lain selama waktu solat tersebut belum habis. Contohnya bersuci di dalam waktu Zohor, boleh ditunaikan solat fardu Zohor dan Asar secara jamak dan solat-solat fardu yang diqada` (diganti) jika ada, serta ibadah sunat yang lain selama waktu Zohor masih ada.
Boleh rujuk Garis Panduan Bersuci Dan Bersolat Bagi Pesakit (halaman 42-43) yang dikeluarkan oleh JAKIM.
Berdasarkan panduan yang diberikan, boleh memilih antara dua pilihan tersebut. Jika puan memilih pilihan pertama, maka hendaklah memperbaharui wuduk setiap kali solat ganti. Jika memilih pilihan kedua, maka boleh melakukan seberapa solat qada' (ganti) dalam satu wuduk.
Sekian, terima kasih