Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w.b.t. Dato’ Seri / Tuan Mufti,
Saya mengalami masalah kencing tidak lawas (Salis al-Baul). Sebagai langkah menahan titisan air kencing daripada terkena pakaian, saya meletakkan tisu di bahagian kepala kemaluan. Saya memohon pencerahan Mufti bagi dua situasi berikut:
Situasi 1: Peluh pada Tisu (Bahagian Bawah dan Sisi/Tepi) serta Pakaian
Kadangkala kawasan kemaluan berpeluh sehingga menyebabkan tisu sebelah bawah (yang menyentuh kulit) dan bahagian tepi (sisi kiri dan kanan) menjadi lembap. Walau bagaimanapun, bahagian atas tisu yang menyentuh pakaian dalam kekal kering, dan apabila diperiksa, tiada kesan air kencing yang tembus pada seluar dalam atau seluar panjang.
Soalan: Adakah saya wajib membasuh seluruh pakaian (seluar dalam dan seluar panjang) tersebut, atau memadai sekadar membasuh bahagian kepala kemaluan dan menggantikan dengan tisu baru setiap kali masuk waktu solat?
Situasi 2: Penggunaan Tisu Selepas Mandi
Selepas mandi dan membasuh kemaluan sehingga bersih, saya melap kepala kemaluan dengan tisu lalu meletakkan tisu baru. Tisu tersebut menjadi sedikit lembap di bahagian bawah akibat baki air mandi pada kulit, namun bahagian atas tisu kekal kering.
Soalan: Adakah tisu yang lembap akibat baki air mandi yang suci ini perlu dibuang dan diganti semula dengan tisu baru yang lain sebelum solat (kerana bimbang dikira tidak suci), atau saya boleh terus bersolat dengan tisu tersebut tanpa perlu membazir menggantikannya berulang kali?
Mohon panduan dan pencerahan daripada pihak Mufti. Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, situasi 1 dan situasi 2 saling berkait antara satu sama lain mengenai hukum bagi pesakit daimul hadas (sentiasa berhadas) yang perlu diambil berat oleh seseorang yang mengalaminya. Maka, perlu seseorang itu mengikuti beberapa perkara sebelum menunaikan solat supaya wuduk dan solatnya sah. Antara perkara yang perlu dilakukan ialah membersihkan kemaluan daripada najis, kemudian menyumbatnya dengan sesuatu seperti kapas, kecuali jika mendatangkan mudarat atau ketika berpuasa. Jika sumbatan tersebut tidak mencukupi kerana banyaknya cecair yang keluar, hendaklah menggunakan balutan. Selepas itu, hendaklah berwuduk atau bertayammum dan segera menunaikan solat.
Tatacara tersebut hendaklah dilakukan bagi setiap solat fardu, walaupun kapas atau balutan tersebut masih berada pada tempatnya dan tidak berganjak. Hal ini sebagaimana disebutkan:
Maksudnya: Walaupun pembalut tersebut tidak berganjak dari tempatnya dan tidak kelihatan darah keluar dari sekelilingnya, ia tetap perlu diperbaharui bagi setiap solat.
Oleh itu, seseorang yang mengalami daimul hadas hendaklah mengulangi tatacara tersebut bagi setiap solat fardu, termasuk memperbaharui wuduk, meskipun pembalut masih kekal pada tempatnya.
Adapun situasi yang berlaku pada tuan mengenai peluh pada tisu dan juga penggunaan tisu selepas mandi adalah tidak dikira sebagai suci dan tidak perlu dirisaukan akan kenajisannya selagi ia tidak terlihat padanya najis secara ain, warna, bau dan rasa. Sehubungan itu, jika sekadar andaian atau sangkaan, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan:
Maksudnya: Keyakinan tidak akan dapat menghapuskan keraguan.
Ini kerana pada asalnya, sesuatu itu adalah suci sehingga dibuktikan dengan pasti adanya najis disertakan dengan salah satu sifatnya iaitu bau, rasa atau warna.
Sekian, terima kasih.