Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan/puan,
Bolehkah seorang anak perempuan yang belum berkahwin menunaikan ibadah umrah seorang diri tanpa izin ayahnya?
Jika ayahnya tidak mengizinkan, bolehkah dia berkeras dan pergi sahaja tanpa mendapat izin? Berdosakah dia?
Dan adakah berdosa seorang ayah itu jika tak izinkan anaknya pergi menunaikan ibadah umrah?
Terima kasih.
Jawapan
Hukum asal bagi seorang wanita bermusafir tanpa mahram adalah tidak dibolehkan berdasarkan kepada beberapa hadis yang sahih. Di antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas R.A. Beliau berkata bahawa Nabi SAW bersabda :
لَا تُسَافِرْ الْمَرْأَةُ إِلَّا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ
Maksudnya : “Seorang wanita tidak boleh bermusafir tanpa ada mahram.” (Riwayat Al-Bukhari)
Begitu juga dengan riwayat yang lain bahawa Nabi SAW bersabda :
لا يَحِلُّ لامْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ تُسَافِرُ مَسِيرَةَ يَوْمٍ إِلا مَعَ ذِي مَحْرَمٍ
Maksudnya : “Tidak boleh bagi seorang perempuan yang beriman dengan Allah dan hari akhirat untuk bermusafir sejauh sehari perjalanan kecuali bersamanya ada mahram.” (Riwayat Muslim)
Di antara alasan tidak membenarkan wanita untuk bermusafir tanpa mahram adalah untuk menjaga keselamatan, memelihara kehormatan serta menjauhkan para wanita daripada fitnah sekiranya tiada mahram yang menemaninya. Namun jika perjalanan tersebut aman dan selamat, maka sebahagian para ulama membenarkannya dan tidak mensyaratkan mahram sebagai salah satu syarat perjalanan haji dan umrah. Inilah pandangan yang dikemukakan oleh Imam Al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis tersebut.
Berbalik semula kepada persoalan, jika:
Umrah Wajib (Kali Pertama):
Menurut mazhab Syafi'i, ibadah umrah kali pertama adalah wajib (fardhu) sekiranya memenuhi syarat kemampuan (istita'ah).
Jika anak perempuan itu telah berkemampuan dan ditemani oleh sebilangan perempuan yang dipercayai (niswah thiqaat) atau mahram, maka keizinan bapa/wali bukanlah syarat sah untuk menunaikan ibadah yang wajib. Maka dia berhak menunaikannya.
Umrah Sunat (Kali Kedua dan Seterusnya):
Jika umrah tersebut adalah kali kedua dan seterusnya (hukumnya sunat), keizinan bapa atau wali adalah wajib. Anak perempuan yang masih di bawah tanggungan bapa tidak harus musafir untuk ibadah sunat tanpa keredaan atau izin bapanya.
Jika puan berkeras pergi tanpa izin:
Umrah Sunat:
berdosa jika berkeras dan pergi tanpa izin kerana mentaati dan memelihara hubungan baik dengan ibu bapa (birrul walidain) adalah kewajipan yang mengandungi hak manusia, manakala umrah sunat hanyalah amalan sunat.
Umrah Wajib (Kali Pertama):
tidak berdosa dari segi pelaksanaan kewajipan agama
Walau bagaimanapun, perbincangan berhemah dan memohon restu tetap dituntut agar ibadah berjalan tenang dan diberkati.
Adapun hukum seorang ayah melarang anak wanitanya dari melaksanakan umrah maka dilihat kepada sebab dan faktor disebalik larangan tersebut, jika tiada sebab atau faktor munasabah disebalik larangannya itu maka ia perbuatan yang terlarang dan ditegah, adapun jika larangan itu atas dasar yang munasabah seperti faktor keselamatan sebagai contoh maka tidak mengapa.