BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt. 

Ayah saya (A) telah berkahwin dgn kakak kpd ibu saya (B) dan dikurniakan 4 anak perempuan. Selepas 10 tahun, B meninggal dunia dan ayah mengahwini ibu saya (C) dan dikurniakan 8 org anak. Pada 1989, A telah meninggal dunia dan mewariskan tanah kelapa sawit 5 ekar yang sejak itu diuruskan oleh C. Pada 2016, C telah memberi kuasa tanah tersebut secara sah melalui pejabat tanah kpd kami anak kandungnya selepas semua anak-anak B tidak mahu menuntut. Bagaimanapun, segala hasil kebun masih diambil oleh C sehinggalah dia meninggal dunia pada Feb 2026. C juga ada meninggalkan sejumlah harta (duit,emas). 

Mohon penjelasan dan nasihat pihak mufti atas perkara berikut:

1. Pada asalnya, tanah tersebut adalah kepunyaan A dan adakah hak tanah jatuh kepada C selepas A meninggal dunia?

2. Ada pendapat mengatakan kami dengan anak-anak B bukan taraf tiri kerana berbinkan yg sama

3. Adakah anak-anak B termasuk dalam kiraan faraid harta pusaka C? Jika TIDAK, adakah kami perlu memberi sebahagian harta sebagai saguhati?

Segala perhatian dan maklumbalas dari pihak mufti diucapkan ribuan terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد 

Merujuk kepada persoalan-persoalan yang dikemukakan:

  1. Tidak, tanah-tanah tersebut tidak jatuh kepada arwah ibu tuan sahaja. Tanah tersebut merupakan harta pusaka arwah ayah yang diwarisi secara faraid kepada waris-waris yang berhak atas kematian arwah ayah, termasuklah arwah ibu tuan dan kesemua anak-anak arwah ayah yang masih hidup ketika itu.
  2. Benar, hubungan adik-beradik tuan dengan anak-anak arwah kakak ibu tuan adalah adik-beradik kandung sebapa menurut hubungan pertalian darah (nasab), dan bukannya adik-beradik tiri.
  3. Tidak, anak-anak arwah kakak ibu tuan bukan kategori waris yang berhak ke atas harta pusaka arwah ibu tuan. Waris yang berhak ke atas harta pusaka arwah ibu tuan hanyalah anak-anak kandung arwah ibu tuan sahaja. Walau bagaimanapun, berkaitan harta pusaka arwah ayah, anak-anak arwah kakak ibu tuan masih mempunyai hak yang sah dalam mewarisi harta pusaka arwah ayah tuan (tanah kelapa sawit 5 ekar) walaupun mereka sendiri tidak mahu menuntut hak mereka ke atas harta tersebut, melainkan anak-anak arwah kakak ibu tuan telah melepaskan hak bahagiannya masing-masing (Takharuj) ke atas tanah tersebut. Manakala, duit dan emas peninggalan arwah ibu tuan, adalah milik sepenuhnya waris-waris yang berhak atas kematian arwah ibu tuan.

Bagi menjelaskan kedudukan status hak ke atas tanah sawit 5 ekar itu, disarankan agar diadakan satu perbincangan muafakat (Takharuj) antara adik-beradik tuan bersama 4 orang anak-anak arwah kakak ibu tuan untuk mendapatkan penjelasan dalam hak masing-masing sama ada;

  1. Melepaskan hak bahagian mereka masing-masing dan keredhaan mereka; atau
  2. Dibahagikan tanah tersebut termasuklah kepada anak-anak arwah kakak ibu tuan dan adik-beradik arwah ibu tuan secara faraid, atau muafakat; atau
  3. Ditukar tanah sawit tersebut kepada nilai wang mengikut bahagian masing-masing berdasarkan nilaian semasa (penebusan).

Oleh yang demikian, dinasihatkan kepada pihak tuan rujuk kepada pakar runding cara berkaitan harta pusaka atau Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor bagi mendapatkan keterangan lanjut berkaitan harta pusaka arwah ayah.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 19

message user image