BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan/puan.

Soalan saya berkaittan harta iaitu sebuah rumah yg di amanahkan oleh arwah bapa saya kepada saya.

Rumah tersebut adalah rumah yg dianugerahkan oleh kerajaaan selangor apabila tanah kawasan setinggan di Selayang baru di ambil untuk pembangunan. Rumah itu dibeli dgn harga RM 117k dan loan dibuat atas nama saya. Harga pasaran ketika itu RM250k.

Sepatutnya rumah tersebut di beli oleh bapa saya, tetapi atas faktor umur dan kelayakan, bapa saya mengarahkan saya utk membelinya dan menukarkan segala dokumen ke atas nama saya seorang.

Selepas semuanya selesai, Bapa dan adik saya menetap di rumah tersebut sehingga tahun 2020. Di sebabkan adik saya yg masih bujang dan sudah bekerja sebagai guru, adik saya yg membayar bayaran bulanan kepada bank sebanyak RM540 sebulan. Kemudian pada hujung 2020 bapa saya telah meninggal dunia.

Selepas kematian bapa, adik saya menetap di situ dan membayar bayaran bulanan seperti biasa sehinggga feb 2023. Pada feb 2023 adik saya sudah tak berminat utk menetap rumah tersebut.

Untuk pengatahuan tuan/puan, Arwah bapa saya ada berpesan secara lisan utk tidak menjual rumah tersebut kepada sesiapa dan mengamanahkan kepada saya untuk menjaganya, Tetapi arwah bapa saya ada menyatakan yg rumah itu diberikan kepada Adik saya kerana dia adalah yang paling bongsu.

Soalan saya..

1. Adakah ini rumah pusaka?

2. Adakah rumah ini boleh dijual dan difaraidkan?

3. Berdosakah saya jika menjualnya sedangkan saya di amanahkan utk menjaganya?

Dan apa yg saya buat sekarang, sy sewakan rumah tersebut dan hasil sewa selepas tolak pinjaman bank & kos kos lain difaraidkan kepada semua adik beradik. Dan bercadang apabila sudah tamat pinjaman barulah saya jual rumah tersebut dan faraidkan hasil jualan rumah tersebut.

4.Perlu ke sy ikut desakan adik beradik yang lain utk menjual rumah tersebut?

Sekian Terima Kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد 

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan:

  1. Ya, rumah tersebut merupakan harta pusaka yang perlu diberikan kepada waris-waris yang berhak atas kematian arwah ayah tuan sebagaimana menurut hukum syarak, peranan tuan hanyalah sebagai penamaan/peminjam nama di atas pinjaman rumah tersebut atas faktor kelayakan umur arwah bapa pada ketika itu. Oleh yang demikian, tuan hanyalah berperanan sebagai penamaan/peminjam sahaja, manakala hakikat pemilikan asal adalah milik arwah bapa.
  2. Ya, rumah tersebut boleh dijual dan hasil jualan tersebut perlulah diberikan secara faraid kepada waris-waris yang berhak.
  3. Hukumnya adalah tidak berdosa sekiranya tuan ingin menjual rumah tersebut. Namun, sekiranya tuan bercadang untuk hendak menjual rumah tersebut, maka hasil jualan rumah tersebut perlulah diberikan secara faraid kepada waris-waris yang berhak atas kematian arwah ayah setelah ditolak jumlah keseluruhan bayaran sewa bulanan yang telah dibayar oleh adik lelaki bongsu tuan sepanjang tempoh dia duduk di rumah tersebut dan segala kos-kos yang terlibat dalam urusan penjualan rumah tersebut. 
  4. Ya, tuan wajar mempertimbangkan desakan waris-waris lain untuk menjual rumah tersebut kerana sebagai pemegang amanah yang mempunyai nama pada geran tersebut, tuan bertanggungjawab menguruskan hak waris-waris yang lain.

Oleh yang demikian, disarankan kepada tuan untuk mengadakan sesi pertemuan bersama semua waris bagi menyelesaikan isu ini bersama atau rujuk kepada Bahagian Baitulmal Majlis Agama Islam Selangor bagi keterangan lanjut dan nasihat dalam pengurusan harta pusaka arwah ayah.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 13

message user image