Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin mendapatkan penjelasan dan pandangan hukum berkenaan satu kes harta pusaka melibatkan seorang ibu dan anak lelakinya.
Semasa hayat ibu, beliau mempunyai sebuah rumah/apartment di Selangor. Rumah tersebut pada asalnya dibeli bersama bekas suami, tetapi selepas perceraian, terdapat keputusan mahkamah yang memuktamadkan rumah tersebut kepada ibu. Pemaju juga telah mengeluarkan nama bekas suami dan mengiktiraf ibu sebagai pembeli tunggal. Blanket Consent bagi pindah milik juga telah dikeluarkan atas nama ibu seorang.
Hak milik strata telah pun dikeluarkan tetapi masih berdaftar atas nama pemaju kerana proses pindah milik kepada ibu belum sempat disempurnakan.
Semasa ibu masih hidup, beliau memang berhasrat untuk memberikan rumah tersebut kepada anak lelaki tunggalnya atas dasar kasih sayang. Sehubungan itu, Borang 14A pindah milik atas balasan kasih sayang telah pun diisi dan ditandatangani oleh ibu serta anak, dan tandatangan tersebut telah disaksikan/diakusaksikan di hadapan Pendaftar di Pulau Pinang.
Walau bagaimanapun, sebelum Borang 14A tersebut sempat didaftarkan dan proses pindah milik disempurnakan, ibu telah meninggal dunia.
Anak lelaki tersebut ialah anak tidak sah taraf, tetapi beliau merupakan anak kandung ibu dan satu-satunya anak ibu. Ibu dan bapa kepada arwah ibu telah meninggal dunia terlebih dahulu. Arwah ibu juga telah bercerai dan mempunyai beberapa orang adik-beradik lelaki.
Mohon penjelasan pihak Mufti mengenai perkara berikut:
Adakah Borang 14A yang telah ditandatangani oleh arwah ibu semasa hayatnya, atas balasan kasih sayang dan telah diakusaksikan di hadapan Pendaftar, boleh dianggap sebagai bukti bahawa hibah/pemberian rumah tersebut kepada anak telah sempurna atau telah berlaku semasa hayat ibu?
Jika pindah milik belum sempat didaftarkan pada hak milik sebelum kematian ibu, adakah rumah tersebut masih dikira sebagai harta pusaka arwah ibu atau telah menjadi hak anak berdasarkan niat, persetujuan dan Borang 14A yang telah ditandatangani?
Jika rumah tersebut masih dianggap sebagai harta pusaka, adakah anak lelaki tidak sah taraf tersebut berhak mewarisi harta pusaka ibunya?
Dalam keadaan anak lelaki tersebut merupakan satu-satunya anak ibu, adakah adik-beradik lelaki arwah ibu turut mempunyai hak faraid terhadap rumah tersebut?
Adakah kedudukan anak tidak sah taraf sebagai anak yang dinasabkan kepada ibu menyebabkan beliau boleh menghijab atau menghalang adik-beradik ibu daripada menerima pusaka, sebagaimana kedudukan seorang anak lelaki dalam faraid?
Sekiranya niat ibu untuk memberikan rumah kepada anak telah jelas dan dokumen pindah milik telah ditandatangani semasa hayatnya, apakah kaedah syarak yang paling tepat untuk menentukan sama ada rumah tersebut perlu dibahagikan secara faraid atau boleh disahkan sebagai pemberian/hibah kepada anak?
Saya amat menghargai penjelasan pihak Mufti kerana perkara ini penting untuk menentukan cara yang betul sebelum permohonan pembahagian pusaka dibuat.
Terima kasih.
Wassalam.
Jawapan
Merujuk kepada penjelasan tuan, rumah tersebut masih milik ibu kerana proses pindah milik atau hibah ibu terhadap anak lelakinya belum sempat dibuat secara rasmi. Oleh itu, rumah tersebut menjadi harta pusaka yang ditinggalkan kepada waris yang berhak untuk difaraidkan. Ibu ini mempunyai seorang anak lelaki tidak sah taraf dan beberapa adik beradik lelaki yang lain. Kalau tiada "revocation/pembatalan" hibah dari pihak pemberi hibah sebelum meninggal dunia maka hibah tersebut masih boleh didaftarkan di pejabat tanah"
Anak lelaki yang tidak sah taraf, hubungannya dengan ibunya adalah sebagaimana anak dengan ibunya. Anak lelakinya layak untuk mewarisi harta pusaka ibunya. Perkara ini telah dsebut oleh Imam al-Mawardi di dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir:
Maksudnya: Adapun anak zina, maka hukumnya sepertimana hukum anak li’an dan penafian bapanya dan dinasabkan akan dia (anak zina tersebut) kepada ibunya.
Oleh itu, ibu ini mempunyai anak lelaki yang merupakan waris yang layak menerima harta pusaka ibunya. Manakala beberapa adik beradik lelaki ibu yang lain adalah terhalang menerima harta pusaka tersebut kerana adanya anak lelaki si mati (ibu).
Sekian, terima kasih.