BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum w.b.t. Tuan/Puan,

Saya ingin mendapatkan penjelasan berkaitan hukum seseorang yang mencampuri urusan rumah tangga orang lain sehingga menyebabkan pergaduhan, kebencian dan keretakan hubungan antara suami isteri atau ahli keluarga.

  1. Apakah hukum perbuatan seperti menyampaikan perkara yang boleh menimbulkan kebencian, mengapi-apikan perasaan seseorang terhadap ahli keluarganya sendiri atau menyebabkan hubungan kekeluargaan menjadi renggang?
  2. Selain itu, bagaimana hukum bagi pihak yang dizalimi atau disakiti oleh ahli keluarga tersebut? Adakah dibenarkan untuk menjaga jarak, mengurangkan pergaulan atau mengehadkan hubungan bagi mengelakkan mudarat kepada diri dan keluarga?
  3. Adakah seseorang berdosa sekiranya masih sukar untuk memaafkan perbuatan tersebut, walaupun tidak membalas kejahatan dengan kejahatan?
  4. Apakah panduan Islam dalam menghadapi ahli keluarga yang sering menyakiti hati, membanding-bandingkan, mencetuskan konflik dan memberi kesan buruk kepada hubungan kekeluargaan?

Mohon penjelasan daripada pihak tuan/puan supaya saya dapat memahami perkara ini berdasarkan panduan syarak.

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتة

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين أما بعد

1) Ketahuilah bahawa seseorang yang mencampuri urusan rumah tangga orang lain sehingga menyebabkan pergaduhan, kebencian dan keretakan hubungan antara suami isteri atau ahli keluarga, perbuatan ini dinamakan takhbib dan hukumnya adalah haram serta berdosa besar. Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ خَبَّبَ امْرَأَةً عَلَى زَوْجِهَا أَوْ عَبْدًا عَلَى سَيِّدِهِ

Maksudnya ; Bukanlah daripada kalangan kami orang yang merosakkan (hubungan) seorang isteri dengan suaminya, atau seorang hamba dengan tuannya. — (Riwayat Abu Daud)

2) Harus hukumnya supaya tidak memudaratkan diri dan orang lain. Maksudnya dengan menjauhkan diri, seseorang itu dapat menghindarkan/ merawat dirinya dari persekitaran yang negatif dan jika dia cenderung di persekitaran itu dikhuatiri dirinya terdorong untuk bertindak di luar kawalan/ melawan serta boleh membawa kemudaratan kepada orang lain pula.

Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Abu Said Al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda :

أنَّ رسولَ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ قالَ : لا ضَررَ ولا ضِرارَ

Maksudnya : "Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudaratkan diri sendiri dan orang lain" (Riwayat Daruqutni)

Sebab itu Islam mendidik kita supaya wujudkan biah solehah dalam keluarga, iaitu persekitaran atau suasana hidup yang baik, harmoni, dan berlandaskan nilai-nilai Islam.

3) Jika masih sukar memaafkan orang itu adalah soal hati. Manusia perlu mengawalnya sendiri. Jika sudah memaafkan, maka mereka telah mengikuti perintah Allah SWT sebagaimana dalam surah as-Syura ayat : 40

وَجَزَٰٓؤُا۟ سَيِّئَةٍۢ سَيِّئَةٌۭ مِّثْلُهَا ۖ فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُۥ عَلَى ٱللَّهِ ۚ إِنَّهُۥ لَا يُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِينَ 


Maksudnya : Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.

4) Cara untuk menghadapinya ialah dengan menegur dan nasihat mereka supaya tidak melakukan perkara-perkara tersebut. Wujudkan suasana keluarga yang baik dan positif serta setiap hari bacalah surah al-Falaq selepas solat memohon perlindungan Allah dari kejahatan manusia. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih. 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 24

message user image