Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
SITUASI DAN SOALAN SAYA:
Saya baru kematian isteri pada 2 minggu yang lepas, arwah ada sejumlah simpanan KWSP dan sebuah kereta saya biayai bersama tetapi didaftarkan atas nama arwah yg masih mempunyai hutang dengan bank. Arwah juga masih ada hutang² lain semasa kami hidup bersama. Kami tidak ada anak kandung, tetapi punyai seorang anak angkat perempuan yg berumur di bawah 15 tahun. Waris yg masih ada adalah ibu, suami dan 4 orang adik beradik seorang lelaki dan 3 perempuan. Soalan saya, bagaimana dan berapa bahagian harta pusaka tersebut di bahagikan mengikut hukum faraid.?
Terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan-persoalan tuan tersebut, hendaklah terlebih dahulu ditentukan harta pusaka almarhumah isteri tuan yang sebenar dan diselesaikan perkara-perkara yang berkaitan dengannya seperti kos pengurusan jenazah, hutang-hutang almarhumah dan wasiat yang sah sebelum baki harta dibahagikan kepada waris yang berhak.
Seterusnya, berdasarkan maklumat yang diberikan pembahagian faraid adalah seperti berikut:
Adapun anak angkat perempuan tidak termasuk dalam waris yang berhak menerima faraid kerana hubungan pengangkatan tidak mewujudkan hubungan nasab.
Berhubung simpanan KWSP, ianya hendaklah dilihat sebagai sebahagian daripada harta pusaka almarhumah.
Manakala bagi kereta yang didaftarkan atas nama almarhumah tetapi pembeliannya dibiayai bersama dengan tuan, perlu ditentukan terlebih dahulu hak atau bahagian tuan terhadap kereta tersebut yang melibatkan tuntutan harta sepencarian. Baki hutang pembiayaan kereta dengan pihak bank juga hendaklah diambil kira.
Selain itu, pengiraan ini mengandaikan 1 lelaki dan 3 perempuan tersebut ialah saudara kandung almarhumah. Untuk pembahagian harta sebenar, hubungan kekeluargaan dan semua waris perlu disahkan terlebih dahulu kerana ianya boleh mempengaruhi hukum faraid.
Oleh itu, saya mengesyorkan kepada pihak tuan untuk merujuk terus kepada Sektor Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor untuk mendapatkan khidmat nasihat berkenaan isu ini.
Sekian, terima kasih.